Isnin, 31 Mei 2010

DARI MANA HENDAK DIMULAI SAF?

Soalan; Assalamualaikum Ust. Saya musykil berkenaan kedudukan saf kedua dalam solat berjemaah. Apabila saf pertama penuh, saf kedua hendaklah dimulakan dari hujung sebelah kanan imam kemudian makmum yang baru masuk hendaklah duduk sebelah kirinya atau hendaklah dimulakan dari tengah saf, iaitu bertentangan dengan kedudukan imam dan makmum yang baru masuk hendaklah duduk sebelah kanan saf dan makmum seterusnya duduk sebelah kiri secara bergilir-gilir? Tolong ust jelaskan beserta rujukannya. Terima kasih.

Jawapan

Hendaklah dimulakan dari tengah saf kerana Nabi –sallalllahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

وَسِّطُوا الْإِمَامَ وَسُدُّوا الْخَلَلَ
“Jadikanlah imam berada di tengah kamu dan tutupilah kekosongan (pada saf)” (HR Imam Abu Daud dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Maksud hadis ini menurut ulamak ialah; jadikanlah imam kamu di tengah-tengah saf kamu iaitu dengan kamu berdiri di belakangnya serta di sebelah kanan dan kirinya. (‘Aunul-Ma’bud, Kitab as-Solah, jil. 2, bab Maqam al-Imam min as-Saf).

Berdasarkan hadis di atas, orang yang pertama sampai di saf ia hendaklah berdiri betul-betul di belakang imam, kemudian orang yang datang selepasnya hendaklah berdiri di kanan atau kirinya. Berada di sebelah kanan saf adalah lebih baik (afdhal) dari sebelah kirinya kerana Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى مَيَامِنِ الصُّفُوفِ
“Sesungguhnya Allah dan Malaikatnya berselawat ke atas (orang-orang yang berada) di sebelah kanan saf” (HR Imam Abi Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha-. Menurut Imam Maghlatoi dalam syarahnya kepada Sunan Ibnu Majah; hadis ini sanadnya soheh mengikut pensyaratan Imam Muslim. Lihat; Faudhil-Qadier, hadis no. 1815).

Dalam kitab Dalil al-Falihin (Syarah kitab Riyadhus-Salihin), dijelaskan; “Disunatkan apabila seorang makmum sampai ke masjid dan ia mendapati para jamaah sedang berada tengah-tengah saf di belakang imam dan terdapat ruang kosong di sebelah kanan imam dan sebelah kirinya, hendaklah ia mengisi ruang kosong di sebelah kanan imam. Tidak semestinya melebihkan sebelah kanan imam akan menyebabkan terhapusnya sunnah menjadikan imam di tengah saf yang juga dituntut. Tuntutan berada di kanan saf ialah jika arah kanan saf adalah luas dan dapat menampung semua mereka yang datang. Jika tidak, mereka yang datang itu hendaklah berlumba untuk mendapatnya (yakni mendapat tempat di ruang kanan saf) dan orang yang gagal mendapatnya hendaklah ia menunaikan solat di sebelah kiri saf. Begitu juga, adalah sunnah memenuhkan saf pertama terlebih dahulu, diikuti saf kedua dan berikutnya”. (Dalil al-Falihin, juz 6, hlm. 426, bab Fadhl as-Saf al-Awwal).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. ‘Aunul-Ma’bud, Syarah Sunan Abi Daud, karangan; Syeikh Muhammad Syamsyul-Haq al-Adziem Abadi, jil. 2, Kitab as-Solah, bab Maqam al-Imam min as-Saf.
2. Dalil al-Falihin Syarah Riyadhus-Salihin, Syeikh Muhammad Ali bin Muhammad bin ‘Allan al-Bakri as-Syafi’ie, juz 6, hlm. 426, bab Fadhl as-Saf al-Awwal.

Ahad, 30 Mei 2010

PERSENYAWAAN BUATAN

Soalan; sekiranya diambil benih seorang lelaki dan sel telor seorang perempuan yang mana kedua-duanya tiada sebarang ikatan pernikahan yang sah, dan kemudiannya di atas pendebungaan kedua benih tersebut lalu dimasukkan ke dalam rahim seorang perempuan yang lain.....permasalahannya apakah hukum kepada anak yang bakal dilahirkan atas hasil pendebungaan tadi, adakah hukumnya haram @ sebaliknya menikahi ibu @ bapa kandungnya.....sekian...

Jawapan;

Melakukan proses persyawaan yang melibatkan benih dari lelaki dan wanita yang tiada ikatan perkahwinan –sama ada di dalam rahim atau di luar rahim (iaitu dalam tabung uji)- perbuatan tersebut adalah haram dan anak yang lahir dikira sebagai anak luar nikah yang tidak harus dinasabkan kepada lelaki yang memiliki benih tersebut. Menjadi perkara yang disepakati oleh ulamak bahawa; di antara maqasid Syariat yang lima salah satunya ialah untuk menjaga nasab. Kerana itu Islam mengharamkan perbuatan zina. Melakukan proses persenyawaan sebagaimana tadi akan membawa kesan yang sama sebagaimana zina iaitu melahirkan zuriat yang keliru nasabnya kerana tidak melalui aqad perkahwinan yang sah.

Di dalam hadis, Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menjelaskan kaedah penasaban anak dalam Islam iaitu sabda baginda; “Anak adalah bagi (pemilik) hamparan. Bagi penzina pula adalah kekecewaan” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Maksud “Anak adalah bagi pemilik hamparan”, ialah; apabila seorang lelaki memiliki isteri atau hamba wanita miliknya di mana mereka menjadi hamparan untuknya, maka apabila isteri/hamba itu melahirkan anak dalam tempoh yang ada kemungkinan (yakni tidak mustahil) bagi kelahiran itu, maka anak itu akan dinasabkan kepadanya dan akan berlaku antara dia dan anak itu perwarisan dan selainnya dari hukum-hakam yang berkait dengan kelahiran, sama ada anak itu ada mirip/keserupaan dengannya atau berbeza dengannya. Tempoh yang ada kemungkinan bahawa bayi itu adalah darinya ialah kelahirannya enam bulan dari tarikh mereka (yakni ia dan isterinya) mula bergaul/bersetubuh”. Adapun maksud “Bagi penzina adalah kekecewaan” ialah; kekecewaan kerana tidak ada hak baginya terhadap anak itu. (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Kitab ar-Radha’, juz. 10, bab al-Walad Lil-Firaysh).

Persidangan Fiqh Islam yang dilakukan di ‘Amman (Jordan) pada bulan Safar tahun 1407 Hijrah (bersamaan Oktober 1986) telah memutuskan; dari tujuh cara/kaedah proses persenyawaan buatan (التلقيح الصناعي) yang dijalankan, lima darinya adalah diharamkan Syarak dan hanya di diharuskan. Lima yang diharamkan itu ialah;

1. Melakukan persenyawaan di antara sperma dari seorang lelaki dan telur (ovum) dari seorang wanita yang bukan isterinya, kemudian dua benih yang telah disenyawakan itu dimasukkan ke dalam rahim isteri kepada lelaki tersebut.

2. Seorang lelaki membenarkan telur isterinya disenyawakan dengan sperma milik lelaki lain, kemudian hasil persenyawaan itu dimasukkan ke dalam rahim isterinya.

3. Sperma suami disenyawakan dengan telur isterinya sendiri, kemudian hasil persenyawaan itu dimasukkan ke dalam rahim wanita lain yang rela menjadi ibu tumpang.

4. Seorang lelaki membenarkan sperma seorang lelaki lain disenyawakan dengan telur seorang wanita (bukan isterinya), kemudian hasil persenyawaan dimasukkan ke dalam rahim isterinya.

5. Sperma suami disenyawakan dengan telur seorang isterinya, kemudian hasil persenyawaan dimasukkan ke dalam rahim isterinya yang lain (yakni bukan isteri yang memiliki telur tadi).

Kelima-lima cara/kaedah persenyawaan di atas ditegah oleh Syarak kerana ia akan menimbulkan percampuran nasab, menghilangkan perasaan keibuan dan kesan-kesan lain yang tidak dikehendaki oleh Syari’at.

Adapun dua cara/kaedah yang diharuskan ialah;

1. Disenyawakan sperma dari suami dengan telur dari isterinya, kemudian hasil persenyawaan dimasukkan ke dalam rahim isterinya itu.

2. Diambil sperma dari kantung mani suami, kemudian disuntik ke dalam saluran peranakan isterinya atau ke dalam rahimnya.

Menurut resolusi yang diputuskan oleh persidangan Fiqh tersebut; dua cara/kaedah persenyawaan di atas diharuskan jika keadaan memerlukan dengan syarat langkah-langkah pengawasan yang sewajarnya diberi perhatian bersungguh-sungguh (seperti langkah pengawasan untuk mengelak kesilapan tertukar sperma suami dengan lelaki lain, atau telur isteri dengan telur wanita lain).

Walllahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-Qadhaya al-Thibbiyyah al-Mu’ashirah, Prof. Dr. Muhyiddin al-Qarrah Daghi dan Prof. ‘Ali Yusuf al-Muhammadi, hlm. 588-590.
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab ar-Radha’, juz. 10, bab al-Walad Lil-Firaysh.

Sabtu, 29 Mei 2010

BAHAGIAN SUAMI DARI HARTA PENINGGALAN ISTERI

Soalan; Assalamualikum Ustaz. Saya ingin bertanya pembahagian harta peninggalan kakak saya yang meninggal dunia. Harta tersebut berupa harta pusaka arwah ayah saya yang telah dibahagikan kepada anak2 secara faraid. Kakak mempunyai sorang suami tp tiada anak. 3 org kakak. 2 orang adik lelaki. Adakah suami arwah kakak saya layak terima harta tersebut.

Jawapan;

Bila seorang perempuan meninggal, suaminya berhak mendapat bahagian dari harta pusakanya, iaitu; ½ jika isterinya tidak mempunyai anak dan ¼ jika mempunyai anak. Dalam kes di atas kakak tuan/puan tidak mempunyai anak, maka suaminya akan mendapat ½ dari hartanya. Harta yang baki menjadi bahagian kakak-kakak dan adik-adiknya dengan nisbah pembahagian 2:1 iaitu yang lelaki mendapat sekali ganda bahagian perempuan. Itu sekiranya ibu sudah meninggal. Jika ibu masih ada, harta yang berbaki setelah ditolak bahagian suami (1/2), diberikan 1/6 kepada ibu dan selebihnya baru diagihkan diantara kakak-kakak dan adik-adik mengikut nisbah tadi.

Dalil bagi hak suami dari harta peninggalan suami ialah firman Allah (bermaksud); “Dan bagi kamu (para suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak, tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya” (an-Nisa’, ayat 12).


Wallahu a’lam.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...