Ahad, 30 Ogos 2009

MASUK AIR DALAM DUBUR; ADAKAH MEMBATALKAN PUASA?

Soalan;

Assalamualaikum , Ustaz saya hendak menanyakan soalan yang membuatkan saya muyskil. Apakah batal puasa kita sekiranya air memasuki ke dalam qubul atau dubur semasa berinstijak menggunakan air??

Jawapan;

Perkara ini menjadi khilaf ulamak. Menurut mazhab Syafi’ie; ia membatalkan puasa jika dilakukan dengan sengaja (termasuk kerana berlebihan ketika beristinjak iaitu membasuh berak atau kencing (khususnya bagi perempuan)). Begitu juga, akan membatalkan puasa jika memasukkan jari. Jika tidak sengaja atau terpaksa tidaklah membatalkan puasa. Contoh terpaksa ialah orang yang mengidap buasir di mana lubang punggung terkeluar dan ia terpaksa menjoloknya dengan jari untuk memasukkan semula, tidaklah membatalkan puasa kerana ia terpaksa melakukannya.

Menurut Imam Daud, Ibnu Hazm dan as-Syaukani; ia tidaklah membatalkan puasa sama ada dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja kerana tiada nas yang menegaskannya dan tidak pula dapat dikiaskan dengan makan, minum atau jimak. Pandangan kedua inilah yang ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fiqh Shiyamnya.

Wallahu a’lam.

KELUAR MAZI KETIKA TENGAH SOLAT

Soalan;

Salam Ustaz, semoga ustaz sihat dan di dalam lindungan Allah SWT hendaknya.Saya ada satu masalah untuk disampaikan kepada ustaz mengenai solat. Saya mengidap penyakit yang mana kadang kala air mazi keluar tak semena-mena, dan kadang kala akibat berfikir bukan-bukan. Persoalan saya ialah, jikalau air mazi terkeluar semasa sedang solat, adakah saya perlu menggantikan solat tersebut? Kerana saya bertanya pada abang usrah saya, dia kata, kalau lihat ada selepas solat, takperlu ganti, dan jika terasa was-was semasa solat, lebih baik mengcheck kemaluan selepas solat. Dan adakah jika air mazi itu terkena pada kain pelikat, adakah dengan sejadah-sejadah saya kena basuh sekali? kerana setakat ini, setiap kali perkara ini berlaku, saya membasuh sejadah saya sekali, kerana khuatir takut-takut
air mazi terjatuh pada kain sejadah. terima kasih ustaz.

Jawapan;

1. Jika mazi itu benar-benar keluar iaitu dengan kelihatan tanda-tandanya, wajiblah saudara berhenti solat, membasuh kemaluan dan kain yang terkena mazi itu, mengambil wudhuk semula dan mengulangi solat. Mazi adalah najis dengan sepakat para ulamak dan keluar sesuatu dari kemaluan membatalkan wudhuk.

2. Adapun jika saudara ragu-ragu sahaja ketika sedang solat –yakni timbul syak adakah mazi itu keluar atau tidak?-, tidak perlu saudara berhenti solat hinggalah benar-benar yakin bahawa ianya telah keluar, kerana menurut kaedah “Yang yakin tidak akan hilang kerana suatu syak (keraguan). Kaedah ini bersumber hadis dari ‘Ubbad bin Tamim yang meriwayatkan dari bapa saudaranya yang bertanya Nabi s.a.w. tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar darinya punggungnya sesuatu atau tidak?. Nabi menjawab; “Janganlah ia keluar dari solatnya sehinggalah ia terdengar bunyi (kentut) atau mendapati keluar angin”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

3. Jika sebaik sahaja selepas selesai solat saudara terlihat mazi pada kain, wajiblah saudara mengulangi solat (setelah membasuhnya dan mengambil wudhuk) kerana kewujudan mazi itu tiada syak bahawa keluarnya ialah semasa sedang solat. Jika setelah beberapa lama (selepas solat) baru saudara ternampak mazi itu, tidak perlulah saudara mengulangi solat kerana ada kemungkinan mazi itu keluar selepas selesai solat.

4. Tempat yang wajib dibasuh ialah yang diyakini terkena mazi. Tidak perlu mengikut perasaan waswas. Sikap melampau-lampau dan memberat-beratkan adalah ditegah agama. Secara logiknya, mazi hanya akan mengenai kemaluan dan kain yang dipakai sahaja, maka itu sahaja yang perlu dibasuh. Kecualilah jika mazi yang keluar terlalu banyak, maka ada kemungkinan ia tumpah mengenai tempat solat. Jika itu berlaku, barulah tempat solat (sejadah) wajib dibasuh sama.

Wallahu a’lam.

ISTIKHARAH UNTUK CALON SUAMI

Soalan;

Assalamualaikum..saya bakal bertunang tidak lama lagi.semasa mengerjakan umrah saya berdoa semoga ditunjukkan jodoh yang sesuai. di mekah juga saya bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki yang saya tidak kenali. apabila pulang ke malaysia saya membuat solat istikharah.beerapa bulan selepas itu saya bermimpi mimpi yang sama ketika d mekah. macam mana dengan tunangan saya ini,perlu diteruskan? atau saya menunggu masa sehingga bertemu lelaki di dalam mimpi itu?

Jawapan;

1. Dalam soal menentukan jodoh atau pasangan yang sesuai, perhatikan dulu ciri-ciri agama iaitu seorang yang soleh, menjaga agama, memelihara solat, menutup aurat dan sebagainya, kemudian barulah beristikharah. Jika calon yang datang dari jenis yang tidak menjaga agama, sebaiknya ibu-bapa atau individu terbabit menolak calon tersebut walaupun tanpa beristikharah terlebih dahulu kerana kita sudah jelas apa pandangan agama. Jika yang datang adalah soleh -sekalipun pada zahir sahaja- ketika itu eloklah menerimanya dan disusuli pula dengan istikharah untuk memohon petunjuk Allah dan ketetapan hati dariNya. Sabda Nabi s.a.w.; "Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang kamu redha (restui) akhlak dan agamanya (ingin meminang anak kamu), maka kahwinilah ia (dengan anakmu). Jika tidak nescaya akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kefasadan yang besar" (Riwayat Imam at-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.. Hadis ini menurut Imam as-Suyuti dalam al-Jami' as-Saghier (no. 347) adalah soheh).

2. Apabila telah melakukan istikharah, lihat apa yang hati berasa tenang dengannya. Ikuti suara hati itu, insya Allah itu adalah petunjuk dari Allah. Jika masih ragu-ragu, lakukan lagi istikharah sehingga hati benar-benar tetap dan tenang dengan pilihannya. Untuk membaca panduan istikharah dengan lebih lengkap, baca jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/12/cara-melakukan-istikharah.html).

Wallahu a'lam.

Khamis, 27 Ogos 2009

BERINTERAKSI DENGAN WANITA TIDAK BERTUDUNG

Soalan;

Assalammualaikaum Ustaz..
Saya tertarik jawapan ustaz mengenai rambut wanita berdosa jika dilihat oleh lelaki.Soalan saya bagaimanakah kita hendak mengelak daripada melihat aurat wanita (terutamanya rambut) dizaman era moden ini kerana rata2 rambut wanita terdedah disana sini.Adakah kita tidak boleh berurusan (urusan kerja atau sahabat) langsung dengan wanita yang tidak memakai tudung?Adakah kita tidak boleh menonton television langsung kerana terdapat bnyk wanita yang tidak bertudung,sedangkan television adalah sumber keperluan di zaman sekarang untuk tujuan maklumat?Minta penjelasan Ustaz..Terima Kasih..

Jawapan;

Berinteraksi dengan wanita yang bukan mahram (yakni bercakap dan berurusan dengannya) adalah harus, tiada sebarang tegahan dari Syarak pada asasnya. Namun hendaklah menjaga adab-adab yang ditetapkan Syarak termasuk yang berhubung dengan pandangan. Harus lelaki memandang wanita ajnabi dengan memelihara tiga perkara;
1. Hanya memandang kepada tempat yang bukan aurat (iaitu muka dan tangan sahaja). Adapun kepada aurat dilarang sama sekali sekalipun tanpa syahwat.
2. Memandang tanpa disertai syahwat. Jika dengan syahwat, haram memandangnya sekalipun pada tempat yang bukan aurat.
3. Tidak dikhuatiri mendatangkan fitnah.

Apabila terpaksa berinteraksi dengan wanita yang tidak menutup aurat (memperlihatkan rambut atau sebagainya), jika dapat menundukkan pandangan itulah yang sebaik-baiknya. Jika tidak dapat dielakkan dari memandangnya, pandanglah ke mukanya sahaja sekadar perlu sahaja tanpa berlebihan. Selesai urusan, beredarlah tanpa menunggu atau bersembang-sembang yang tidak perlu. Menjaga pandangan sekalipun dirasakan remeh, tetapi ia memelihara iman di hati.

Mengenai televisyen, ia adalah ujian dan fitnah besar kepada umat zaman ini. Amat sedikit orang Islam yang dapat mengelak darinya dalam keadaan banyak perlakuan yang bercanggah dengan Syaria’t terdapat dalam televisyen itu. Hukum Syari’at adalah kekal dan tidak akan berubah sekalipun zaman berubah. Yang haram di sisi Syari’at tetap haram sekalipun orang ramai tidak menghiraukan hukum tersebut. Di antara kesilapan yang dilakukan oleh umat Islam hari ini ialah mereka memandang Islam dalam ruang yang sempit iaitu ibadah khususiyah sahaja dan mereka tidak melihat Islam dalam aspek-aspek yang lebih luas (politik, ekonomi, perniagaan, teknologi, media masa dan sebagainya). Kerana itu mereka membiarkan teknologi dipelopori oleh orang bukan Islam dan ternyata orang-orang bukan Islam telah mencorakkannya mengikut acuan mereka. Sedangkan teknologi jika dikuasai oleh orang Islam, dunia ini pasti akan dapat diimarahkan dengan Syari’at Allah dan itulah yang dikehendaki Allah untuk umat Islam lakukan. Kita tidak boleh menghalang dunia dari televisyen, tetapi kita boleh mencorakkan televisyen mengikut acuan Islam jika kita berusaha ke arah itu, insya Allah.

Wallahu a’lam.

Rabu, 26 Ogos 2009

MEMASUKKAN ALAT SCAN KE DALAM FARAJ; ADAKAH MEMBATALKAN PUASA

Soalan;

assalamualaikaums ustadz,saya ada kemusykilan..InsyaAllah saya dan suami merancang untuk menjalani prosedur IVF (in vitro fertilization) atau lebih dikenali sebagai bayi tabung uji pada bulan oktober 2009. keputusan menjalani IVF ini dibuat setelah gagal mendapat zuriat dengan kaedah2 perubatan yang lain. Walaubagaimanapun, prosedur ini memerlukan pemeriksaan ovari yang dijalankan melalui kaedah transvaginal ultrasound (alat scan yang dimasukkan ke dalam faraj untuk mendapatkan imej ovari) pada hari-hari tertentu.Keseluruhan kaedah ini memerlukan tempoh rawatan selama 2 bulan setengah. Memandangkan kami bercadang untuk menjalani IVF pada bulan oktober, doktor telah menyusun jadual pemeriksaan dan suntikan hormon untuk saya yang kebanyakannya jatuh pada hari2 tertentu dalam bulan Ramadhan (biasanya, rawatan kesuburan seperti ini memerlukan penjadualan teratur untuk memastikan matlamat IVF itu sendiri tercapai). Adakah alat scan yang dimasukkan ke dalam faraj itu akan membatalkan puasa saya? terima kasih. wallahualam.

Jawapan;

Menurut mazhab Syafi'ie, antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu melalui kemaluan hadapan dan belakang (dubur, zakar dan faraj).(1) Oleh demikian, berdasarkan pandangan mazhab ini, puan hendaklah menangguhkan prosedur tersebut ke bulan lain kerana ia akan membatalkan puasa. Jika tidak dapat dielakkan, harus puan melakukannya, namun puan wajib menggantikan puasa yang terbatal itu di hari lain selepas Ramadhan.

Ada ulamak berpandangan; perkara tersebut tidaklah membatalkan puasa kerana tiada dalil yang menegaskannya. Antara mereka ialah; Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan asy-Syaukani. Mengikut pandangan kedua ini, tiada sebarang halangan untuk puan melakukan prosedur tersebut dalam bulan Ramadhan kerana ia tidak membatalkan puasa. Pandangan kedua ini ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh as-Shiyam.

Dalam mengemukakan perkara-perkara yang membatalkan puasa (malah juga ibadah-ibadah yang lain), di kalangan ulamak ada yang mengambil pendekatan ihtiyat (berhati-hati) dan ada yang mengambil pendekatan berpada dengan sekadar yang disebut di dalam nas. Mazhab-mazhab Fiqh yang masyhur (Hanafi, Syafi’ie, Maliki dan Hanbali) kelihatannya mengambil pendekatan pertama, kerana itu huraian tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam kitab-kitab mazhab cukup panjang berjela walaupun nas-nas yang berkaitan dengannya sedikit sahaja. Beberapa ulamak terkenal – seperti Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam as-Syaukani dan sebagainya- cenderung mengambil pendekatan kedua. Menurut Imam Ibnu Hazm; Memasukkan ubat melalui lubang dubur, menitik air/ubat melalui saluran kencing atau telinga, menyedut ubat melalui hidung, bercelak, merawati luka yang menembus ke perut dan luka yang sampai ke dalam kepala; semuanya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak tergolong dalam pengertian makan dan minum. Kata beliau; “Sesungguhnya kita ditegah Allah ketika sedang berpuasa dari makan, minum, jimak, sengaja muntah dan melakukan maksiat. Tidak pernah kita mengetahui bahawa makan dan minum boleh melalui dubur atau saluran kencing atau telinga atau mata atau hidung atau luka yang menembusi ke perut dan ke kepala. Kita tidak ditegah sekali-kali dari memasukkan sesuatu ke rongga dalam –selain dari makan dan minum- selama ia tidak diharamkan (oleh nas Syarak) ke atas kita”. (al-Muhalla, 4/348).

Pada khilaf ulamak ada keluasan bagi umat Islam. Berkata Umar bin Abdul-‘Aziz; “Aku tidak gembira jika sahabat-sahabat Nabi tidak berbeza pandangan, kerana jika mereka semua sepakat atas satu pandangan, sesiapa menyalahinya, ia akan sesat. Namun jika mereka berbeza pandangan, lalu seorang memakai satu pandangan dan seorang yang lain memakai satu pandangan lain, maka terdapat keluasan/kelonggaran bagi urusan tersebut”.

* Untuk membaca lebih lanjut pandangan ulamak tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa, sila baca di (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/kemusykilan-tentang-perkara-perkara.html) dan (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-perkara-perkara-membatalkan-puasa.html).

Wallahu a’lam.

Nota hujung;

(1) Lihat; al-Majmu', Imam an-Nawawi, 6/322.

Selasa, 25 Ogos 2009

FIDYAH PESAKIT HIV

Soalan;

Salam, Ustaz saya merupakan penghidap HIV positif dan sedang mengambil ubat antiretroviral yang mesti diambil tepat pada masanya. di sebabkan saya mengambil ubat ini menyebabkan saya tidak berpeluang untuk berpuasa dalam hidup saya yang akan datang. Di sini saya ingin bertanya ustaz mcm mana saya nak bayar fidyah dengan kiraan yang betul. saya sangat jahil. untuk makluman ustaz ini adalah tahun kedua saya tidaksmembayar fidyah kerana kejahilan dan rasa malu kerana kesilapan lalu saya. minta ustaz perjelaskan kepada saya. terima kasih

Jawapan;

1. Fidyah puasa bermaksud mengeluarkan kadar tertentu dari makanan asasi setempat bagi setiap hari yang ditinggalkan dari puasa bulan Ramadhan dan diberikan kepada orang miskin. Bagi penduduk negara ini, makanan asasinya ialah beras, maka fidyah hendaklah dikeluarkan dengan beras.

2. Kadar fidyah ialah satu cupak, iaitu menyamai 650 gram beras mengikut ukuran hari ini.

3. Satu hari puasa yang ditinggalkan, satu fidyah dikeluarkan. Bagi orang yang tidak dapat berpuasa sepanjang hayatnya, bilangan fidyah adalah mengikut bilangan hari puasa tahun tersebut. Jika bilangan hari puasa suatu tahun itu adalah 30 hari, maka fidyahnya ialah 30 cupak. Jika bilangan hari puasa ialah 29 hari, fidyah adalah 29 cupak. (Jumlah hari dalam sebulan mengikut kalender Islam (yakni kalender hijrah) ialah antara 29 atau 30 hari bergantung kepada anak bulan).

4. Fidyah hendaklah diberikan kepada fakir miskin, tidak harus kepada orang lain. Jika jumlah fidyah adalah banyak (lebih dari satu fidyah), harus memilih untuk memberinya kepada seorang fakir sahaja atau lebih. Namun jika fidyah adalah satu sahaja (yakni secupak), maka hendaklah diberikan kepada seorang fakir sahaja, yakni tidak harus satu fidyah dibahagikan kepada beberapa orang fakir.

5. Harus jika saudara ingin membayar fidyah dengan wang, iaitu dengan melihat harga beras semasa, kemudian menghitung kadar fidyah yang wajib dikeluarkan (iaitu 650 gram x bilangan hari puasa ditingalkan x harga beras semasa), dan wang itu diberikan kepada fakir miskin.

6. Semoga saudara sentiasa dikurniakan ketabahan oleh Allah. Setiap yang berlaku adalah dengan takdir Allah dan ada hikmahnya. Tiada kesakitan yang menimpa seorang mukmin melainkan akan gugur dosa darinya sebanyak kesakitan itu.

Wallahu a'lam.

ANAK TIRI DAN HARTA PUSAKA

Soalan;

Assalamualaikum w.t.b…Saya ingin bertanya soalan berkaitan harta pusaka.Ibu saya telah meninggal dunia 2 tahun lepas. Ibu saya telah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki yang berusia 18 tahun.
Bapa tiri saya juga telah meninggal dunia beberapa tahun lepas. Bapa tiri saya mempunyai 2 org anak bersama bekas isteri sebelum mengahwini ibu saya.
Adik beradik saya pula seramai 5 orang. Ibu dan bapa tiri saya telah membeli sebuah rumah diatas nama bapa tiri saya. Buat masa sekarang rumah tersebut
kami sewakan dan kami gunakan wang tersebut untuk menyara dan pembelajaran adik tiri lelaki saya.
Soalan saya: Adakah rumah tersebut hanya berhak di tuntut oleh anak lelaki ibu dan bapa tiri saya atau kami anak sebelah ibu juga berhak keatas rumah tersebut dan
adakah 2 orang anak bapa tiri saya lebih berhak keatas tuntutan tersebut?
Sehingga kehari ini masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan. Jawaban dari pihak tuan/puan amat saya hargai.

Jawapan;

Dalam pembahagian harta pusaka mengikut Islam, anak yang berhak mewarisi ialah anak kandung sahaja sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Adapun anak tiri ia tidak masuk dalam senarai waris dan tidak boleh mewarisi harta di mati.

Wallahu a'lam.

Sabtu, 22 Ogos 2009

JIMAK DI BULAN RAMADHAN SELEPAS MEMBATALKAN PUASA

Soalan;

Ustaz, pada bulan puasa seseorang lelaki melakukan persetubuhan di siang hari dan dia terlebih dahulu membatalkan puasa tersebut pada hari itu, adakah perlu diganti puasa tersebut 2 bulan berturut-turut. Sekian, yang daif.

Jawapan;

Pertama, perlu dingatkan bahawa sengaja berbuka puasa di bulan Ramadhan adalah dosa besar sama ada berbuka dengan makan, minum atau bersetubuh (jimak). Sabda Nabi s.a.w. (bermaksud); ““Sesiapa berbuka puasa sehari di bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (kelonggaran) yang diizinkan Allah untuknya, puasa sepanjang masa sekalipun tidak akan berupaya membayarnya sekalipun ia melakukannya” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Orang yang melakukan perbuatan di atas ia telah melakukan dua dosa; pertama, dosa berbuka puasa dengan sengaja di bulan Ramadhan dan kedua, dosa melakukan helah (tipu daya) untuk menghalalkan larangan Allah di bulan Ramadhan. Berbalik kepada soalan; adakah tetap diwajib kaffarah ke atasnya?, para ulamak berbeza pandangan;

1. Jumhur ulamak (merangkumi Imam Abu Hanifah, Imam Malik , Imam Ahmad dan sebagainya) berpendapat; ia tetap dikenakan kaffarah kerana ia melakukan persetubuhan ketika kewajipan puasa Ramadhan masih terbelenggu atas dirinya. Orang yang berbuka puasa di bulan Ramadhan –tanpa sebarang keuzuran- walaupun puasanya batal, namun kewajipan puasa tetap tidak gugur darinya. Jadi, apabila ia bersetubuh, persetubuhan itu berlaku ketika kewajipan puasa atas dirinya masih berjalan dan kerana itu tetap dikenakan kaffarah ke atasnya mengikut pandangan teramai para ulamak.

2. Mazhab Syafi’ie; menurut mazhab Syafi’ie; tidak dikenakan kaffarah ke atasnya kerana persetubuhan itu berlaku ketika ia tidak lagi berpuasa. Jadi, mazhab Syafi’ie tidak melihat kepada kewajipan puasa, akan tetapi melihat kepada wujud puasa atau tidak ketika persetubuhan itu berlaku. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; persetubuhan yang mewajibkan kaffarah ialah persetubuhan yang berlaku ketika masih berpuasa (yakni puasa masih ada dan kemudian dibatalkan dengan persetubuhan). Adapun persetubuhan yang berlaku setelah puasa batal, maka tidak wajib kaffarah.

Pandangan yang rajih bagi masalah ini ialah pandangan jumhur ulamak kerana ia menutup pintu helah kepada orang-orang yang ingin melanggar hukum Syariat. Jika tidak dikenakan kaffarah, nescaya semua orang yang ingin bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan akan melakukan sedemikian; mereka akan makan terlebih dahulu, kemudian melakukan persetubuhan . Maka tidak ada makna Syariat mewajibkan kaffarah jika sedikit helah sahaja sudah dapat menidakkannya. Kerana itu para ulamak hari ini menegaskan; pandangan yang rajih ialah pandangan jumhur tadi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (http://islamqa.com/ar/ref/38287/صوم).

SUNTIKAN; ADAKAH BATAL PUASA?

Soalan;

Assalamu alaikum, adakah dikira perkara yang membatalkan puasa sekiranya seseorang itu dimasukkan air ke tubuh badannya semasa mendapat rawatan di hospital?

Jawapan;

Soalan di atas berkait dengan hukum suntikan ke atas orang berpuasa; adakah membatalkan puasa atau tidak? Jawapannya; suntikan mempunyai beberapa tujuan;
1. Untuk tujuan pengubatan –seperti menyuntik ubat untuk menurunkan darjah kepanasan bagi orang demam, menyuntik insulan bagi pesakit kencing manis dan sebagainya-.
2. Untuk tujuan kekuatan/ketahanan badan –seperti menyuntik vitamin, kalsium dan sebagainya-.
3. Untuk tujuan taghziah iaitu membekalkan makanan kepada badan seperti memasukkan glukos, air dan sebagainya.

Bagi tujuan pertama dan kedua, ia tidak membatalkan puasa. Hukum ini telah disepakati oleh sekelian ulamak semasa hari ini kerana bahan yang masuk ke dalam badan melalui suntikan itu bukanlah masuk melalui saluran terbuka (iaitu mulut) dan ia juga tidak berfungsi sebagai makanan untuk badan. Maka suntikan itu tidak menafikan hikmah puasa iaitu berlapar dan menghalang diri (dari makan, minum dan sebagainya yang dilarang semasa berpuasa).

Adapun bagi tujuan ketiga iaitu taghziah, ulamak-ulamak semasa hari ini berbeza pandangan;

1. Sebahagian ulamak berpandangan; suntikan taghziyah (iaitu suntikan memasukkan makanan seperti glukos, air atau sebagainya) membatalkan puasa kerana ia mengambil kedudukan seperti makan atau minum. Suntikan itu membawa makanan masuk ke dalam badan dan badan menerima manfaat darinya. Jika makanan yang masuk melalui mulut membatalkan puasa, maka yang masuk melalui suntikan juga membatalkan puasa kerana ia adalah saripati makanan dan sampai secara direct kepada darah. Antara yang berpandangan begini ialah Syeikh Ibnu ‘Uthaimin (ulamak terkenal dari Arab Saudi) sebagaimana fatwanya dalam kitab “Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram” (halaman 200).

2. Sebahagian ulamak yang lain berpandangan; tidak batal puasa kerana sekalipun ia bersifat makanan tetapi masuknya ke dalam badan bukanlah melalui saluran terbuka (mulut atau hidung) yang berterusan ke perut, akan tetapi melalui urat yang tiada pertalian direct dengan perut. Lagipun ia tidak menghilangkan lapar atau dahaga dan orang yang disuntik tidak merasai kenyang kerana bahan yang disuntik –sekalipun bersifat makanan- tidak sampai ke perut dan tidak melalui saluran penghadaman. Memang benar ia mungkin akan berasa lebih segar dan bertenaga, akan tetapi factor itu sahaja tidak boleh menjadi sebab untuk menghukum batalnya puasa kerana kesegaran juga dirasai oleh orang yang mandi ketika sedang berpuasa dan tidak ada ulamak yang berkata mandi membatalkan puasa kerana mendatangkan kesegaran. Di antara ulamak yang berpandangan begini ialah Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’ie (bekas mufti Mesir). Pandangan inilah yang ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Fiqh as-Shiyam” (halaman 86).

Walllahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 434.
2. 1000 Sualan wa Jawaban Lil-Mar-ah al-Muslimah, Mustafa Abu al-Ghait dan Islam Dirbalah, hlm. 100.
3. Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 200.
4. Fiqh as-Shiyam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 85-86.
5. al-Kalimu at-Thoyyib; Fatawa Mu’asharah, Dr. ‘Ali Jum’ah, hlm. 107.

Khamis, 20 Ogos 2009

WANG SAGU-HATI/KOMISYEN DARI PEMBEKAL

Soalan;

Assalamualaikum ustaz. Saya musyhkil tentang satu perkara. Dipendekkan cerita saya ditugaskan oleh syarikat untuk mencari pembekal bagi membuat cenderamata untuk syarikat di mana saya berkerja. Saya pun menjalankan tugas seperti biasa. Pada hari si pembekal menghantar barang yang di pesan ke syarikat saya dia menghulurkan sejumlah wang kepada saya sambil berkata "Nanti if u mahu order apa-apa lagi panggillah kita lagi". Tanpa berfikir panjang saya menerima sambil berkata ok...ok...tanpa apa-apa sebarang syak wasangka.

Soalannya, apakah duit yang saya terima itu halal atau haram? Ini kerana saya tidak pernah pun meminta wang dari si pembekal. Pada awalnya saya kira ia hanyalah komisyen kerana memberinya bisnes. Tapi kini saya merasa serba tak kena. Saya takut jika wang itu sebenarnya haram (atas sebab2 tertentu). Saya tidak pernah meminta atau meletakkan syarat kepada si pembekal sekiranya dia mahu bisnes mesti memberi saya imbuhan. Apa pendapat ustaz. Adakah ia halal?

Jawapan;

Apabila kita berurusan depan pihak lain atas nama jawatan kita bagi pihak Syarikat (atau majikan) bukan atas nama individu (yakni bukan urusan peribadi), maka segala saguhati, imbuhan atau komisyen yang diterima hendaklah dipulangkan kepada syarikat atau majikan, kecualilah jika majikan telah membuat pengumuman lebih awal bahawa sebarang wang saguhati atau komisyen yang diberikan oleh pembekal adalah milik pegawai yang berurusan dengannya. Jadi, saudara hendaklah memaklumkan kepada majikan tentang wang itu atau meminta dari pembekal menurunkan harga barang sebagai tukaran kepada wang itu.

Di dalam Soheh Imam al-Bukhari diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. ada melantik seorang lelaki sebagai pegawai pungutan zakat. Lalu ia pulang kepada Rasulullah s.a.w membawa harta dan berkata; "Sebahagian harta ini adalah untukmu (yakni zakat) dan sebahagian lagi adalah yang dihadiahkan orang kepadaku". Rasulullah lantas menaiki mimbar dan berceramah kepada para sahabatnya; "Bagaimana seorang pegawai yang kita utuskan untuk memungut zakat boleh berkata; 'Harta ini untukmu (yakni zakat) dan yang ini pula dihadiahkan untukku'. Cubalah ia duduk di rumah bapanya atau rumah ibunya, apakah akan ada orang yang akan datang memberi hadiah kepadanya?". (Kitab al-Ahkam, Hadaya al-'Ummal).

Sekarang kita ada jawatan di dalam syarikat, maka ramailah pembekal yang ingin memberi hadiah kepada kita kerana itu adalah antara helah untuk dia dapat kekal berurusan dengan syarikat kita. Tetapi bagaimana jika kita sudah tidak memegang jawatan itu lagi, adakah pembekal akan terus memberi wang atau hadiah kepada kita, atau ia akan memberi kepada orang lain yang menggantikan kita? Jelaslah bahawa hadiah itu sebenarnya bukan kerana kita, akan tetapi kerana jawatan kita. Maka hendaklah dipulangkan kepada syarikat atau majikan kita.

Wallahu a'lam.

Sabtu, 15 Ogos 2009

NIAT PUASA KAFFARAH SUMPAH

Soalan;

assalamualikum ustaz, bagaimana hendak niat puasa sebagai denda melanggar sumpah yang mana perlu berpuasa selama 3 hari berturut2. wassalam..

Jawapan;

1. Kaffarah sumpah ialah dengan memilih salah satu dari tiga perkara;
a) Memberi makan sepuluh orang miskin, atau;
b) Memberi pakaian untuk mereka, atau;
c) Membebaskan seorang hamba.
Jika tidak berupaya melakukan satupun darinya, hendaklah berpuasa tiga hari. Tidak boleh berpindah kepada puasa melainkan jika tidak mampu memilih salah satu dari tiga di atas. (Sila rujuk surah al-Maidah, ayat 89).

2. Puasa fardhu/wajib (sama ada puasa Ramadhan, puasa Qadha atau puasa kaffarah) hendaklah diniatkan di malam hari (iaitu sebelum masuk waktu subuh).

3. Niat yang wajib ialah di dalam hati, iaitu dengan kita mengqasadkan (yakni menghadirkan) di dalam hati untuk berpuasa pada esok hari bagi menunaikan kewajipan kaffarah (denda) kerana melanggar sumpah.

4. Menurut mazhab Syafi'ie, sunat melafazkan niat dengan lidah, iaitu; "Sahaja aku berpuasa esok hari bagi menunaikan kewajipan kaffarah sumpah kerana Allah Taala".

5. Para ulamak berbeza pandangan; adakah puasa tiga hari itu wajib dilakukan berturut-turut atau harus dilakukan dengan terpisah-pisah? Menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; wajib dilakukan secara berturut-turut (yakni tidak boleh diselangi). Menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; tidak wajib berturut-turut, cuma sunat sahaja. (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem (Imam Ibnu Kathir) dan Bidayatul-Mujtahid (Imam Ibnu Ruysd), kitab al-Aiman).

Wallahu a'lam.

SETUBUH KETIKA HAID KERANA TERSALAH

Soalan;

Apakah berdosa saya melakukan hubungan seks dengan isteri,pada masa perlakuan itu berlaku isteri masih bersih tetapi semasa hubungan kelamin sedang berjalan saya dapati isteri telah didatangi haid. Saya dan isteri tidak tahu,apabila kami tahu kami terus berhenti dari melakukan hubungan kelamin. Adakah berdosa besar perbuatan kami.

Jawapan;

1. Larangan Syarak yang dilakukan kerana tersalah, lupa atau tidak disengajakan tidak dikira berdosa. Sabda Nabi s.a.w.;

إن الله تعالى وضع عن أمتي الخطأ، والنسيان، وما استكرهوا عليه
"Sesungguhnya Allah menggugurkan dari umatku (perbuatan dosa yang mereka lakukan kerana) tersalah, lupa dan dipaksa" (Riwayat Imam Ibnu Majah dan Ibnu 'Abbas r.a.).

2. Namun sebaik menyedarinya atau tersedar, hendaklah berhenti melakukannya. Jika diteruskan, akan berdosa kerana perlakuan selepas itu adalah disengajakan.

3. Hendaklah berdoa kepada Allah dengan doa di akhir surah al-Baqarah;

رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membalas kami jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau membebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu dari kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir” (Surah al-Baqarah, ayat 286).

Wallahu a'lam.

MENGGUGURKAN KANDUNGAN

Soalan;

Assalamualaikum Ustaz! Ada sorang kawan tanya,dia dah ada anak dua orang ,anaknya yang nombor tu masih kecil, dia dah tak mau anak dah dan juga ada masalah kewangan menghimpit mereka .Dia dah cuba jaga supaya tak lekat ,dia tak boleh makan pil perancang sebab ada penyakit,tau tau dia mengandung sebulan,kalau dia cuci kandungantu apa hukumnya.

Sekian terima kasih.

Jawapan;

Tidak harus menggugurkan kandungan kecuali bimbang akan membahayakan nyawa ibu (jika kandungan diteruskan) atau bayi yang bakal lahir.[1] Kewujudan bahaya itu hendaklah disahkan oleh doctor muslim yang tsiqah (yakni dapat dipercayai dari segi pegangan agamanya). Termasuk tidak harus menggugurkan kandungan ialah menggugurnya dengan alasan masalah kewangan atau kemiskinan. Orang terbabit hendaklah menerima takdir Allah (yang mengurniakan anak kepadanya) dan meyakini pemberian rezki dari Allah untuk makhluk yang Ia ciptakan. Firman Allah;

وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلاقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُم إنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْءاً كَبِيراً

“Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan. Kamilah yang member rezki kepada mereka dan juga kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah dosa yang besar” (Surah al-Isra’, ayat 31).

Menggugurkan janin atau kandungan adalah berdosa kerana melakukan jenayah ke atas makhluk yang telah wujud sekalipun belum lahir ke dunia. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya setiap seorang dari kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya iaitu selama empat puluh hari sebagai nutfah (yakni air mani), kemudian ia menjadi ‘alaqah (iaitu segumpal darah) dengan tempoh seperti itu juga (yakni 40 hari), kemudian menjadi mudhghah (iaitu seketul daging) dengan tempoh seperti itu juga (yakni 40 hari). Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ia meniupkan ruh kepadanya…” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud r.a.). Hadis ini menunjukkan bahawa janin di dalam perut melalui proses kejadian yang ditetapkan Allah. Membunuhnya bermakna membunuh makhluk Allah yang sedang membesar. Maka, menurut ulamak; semakin meningkat usia janin itu, maka dosa membunuhnya semakin besar.

Dalam kes janin terpaksa digugurkan, hendaklah digugurkan sebelum berusia 4 bulan (iaitu sebelum ditiup ruh kepadanya). Paling baik ialah sebelum berusia 40 hari. Adapun selepas 4 bulan, tidak harus menggugurkannya sama sekali [2] kecuali dalam satu kes sahaja iaitu bimbang membahayakan nyawa ibu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Wafi Fi Syarhi al-Arba’in an-Nawawiyah, Dr. Mustafa al-Bugha.

2. Fatwa (http://www.islamic-fatwa.com/fatawa/index.php?module=fatwa&id=18704)

3. Fatwa (http://islamqa.com/ar/ref/12118/إسقاط)

Nota Hujung;

[1] Bayi yang dikhutiri cacat apabila dilahirkan dimana kecacatannya menyukarkannya untuk hidup dengan baik selepas dilahirkan ke dunia (seperti down sindrom dan sebagainya) dan kecacatan itu tidak dapat disembuhkan serta disahkan oleh doctor muslim yang tsiqah, harus menggugurkannya dengan syarat usianya belum mencapai 4 bulan atau 120 hari. Inilah yang difatwakan oleh para ulamak dalam perhimpunan Fiqh Islam anjuran Rabitah ‘Alam Islami (15 Rejab 1410, 10 Februari 1990). Begitu juga difatwakan oleh Majlis Fatwa Arab Saudi.

[2] Kerana ia telah berbentuk manusia yang sempurna yang telah ditiupkan ke ruh kepadanya.

Khamis, 13 Ogos 2009

KURSUS CHEF

Soalan;

assalamualaikum ustaz, saya ada satu soalan iaitu saya hendak masuk kursus chef (singapura) tetapi kami harus pegang semua jenis daging dan arak.Persoalan nyer ialah apakah hukumnya dan adakah ianyer berdosa?Apakah yg harus saya buat?Harap ustaz boleh jelaskan dgn terperinci..Terima Kasih.

Jawapan;

Seorang muslim wajib menjaga batasan Syariat termasuk batasan halal dan haram. Arak adalah haram dan najis berdalilkan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Orang Islam bukan sahaja dilarang minum arak, malah dilarang terlibat dengan segala yang ada kaitan dengan arak. Sabda Nabi s.a.w.; “Allah melaknat arak, orang yang meminumnya, yang menghidangnya untuk diminum (oleh orang lain), yang menjualnya, yang membelinya, orang yang memerahnya, yang minta diperahkan untuknya, orang yang membawanya, orang yang dibawa arak kepadanya dan orang yang memakan harganya (yakni hasil jualannya)”. (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim dari Ibnu Umar. Hadis ini menurut Imam as-Suyuti adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7253)

Begitu juga dengan daging-daging yang tidak halal (daging tidak disembelih, daging babi dan sebagainya); haram memakannya, haram menjualnya dan haram menghidangnya kepada orang lain. Di dalam al-Quran Allah melarang umat Islam membantu perbuatan dosa; “Saling membantulah untuk melakukan kebaikan dan takwa dan jangan saling membantu dalam perkara dosa dan pelanggaran/permusuhan” (Surah al-Maidah, ayat 2).

Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda semasa baginda berada di Mekah pada tahun pembukaannya; “Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala”. Baginda ditanya; ya Rasulullah, bagaimana dengan lemak bangkai (adakah turut diharamkan) kerana ia digunakan untuk menyaluti (mengecat) kapal/sampan, meminyaki kulit-kulit dan bahan bakar pelita/lampu. Maka Nabi menjawab; ia juga haram. Kemudian baginda bersabda lagi; “Allah telah melaknat kaum Yahudi kerana tatkala Allah mengharamkan ke atas mereka lemak-lemak (binatang yang diharamkan) mereka mencairkannya kemudian menjualnya dan memakan harganya (yakni wang hasil jualannya)”. (Riwayat Imam al-Bukhari). Dalam hadis lain baginda menegaskan; “Sesungguhnya Allah apabila mengharamkan sesuatu maka Ia mengharamkan juga hasil jualannya” (Riwayat Imam Ahmad dari Ibnu ‘Abbas r.a.).

Oleh demikian, saya menasihatkan saudara agar mencari kursus masakan yang lain yang tidak menggunakan bahan-bahan yang haram. Yakinlah, dengan menjaga Syri’at Allah hidup saudara akan sentiasa diberkati dan rezki saudara akan sentiasa dimurahi.

Wallahu a’lam.

HUKUM CONTACT LENS

Soalan;

Assalamualaikum, Saya ingin bertanya dan mendapatkan kepastian tentang penggunaan contact lens (kanta lekap) semasa solat, puasa, adakah sah ibadatnya??
Dan di dalam islam bolehkan seseorang itu menggunakan contact lens samada menpunyai masalah rabun atau sekadar pakai suka-suka?

Jawapan;

Ada dua tujuan memakai kanta lekap;

1. Tujuan perubatan; iaitu orang yang memakainya kerana masalah mata yang dihadapinya, iaitu ia memakainya sebagai ganti cermin mata. Hukumnya adalah harus dengan syarat tidak mendatang mudarat kepada mata.

2. Tujuan perhiasan; iaitu memakainya sekadar suka-suka, bukan kerana keperluan (yakni bukan kerana masalah mata). Ia masuk dalam hukum perhiasan. Perhiasan diharuskan selagi tidak melanggar batasan Syara, iaitu;
a) Tidak mendedahkan aurat dan berlaku tabarruj
b) Tidak mendatangkan fitnah iaitu menimbulkan ghairah orang lain –terutamanya wanita- (yakni tidak harus wanita memakai perhiasan yang boleh mendatangkan ghairah atau mencuri perhatian lelaki kepadanya).
c) Tidak mengubah ciptaan Allah.
d) Tidak berupa penipuan atau pemalsuan.
e) Tidak menyerupai perbuatan orang kafir
f) Tidak berlebihan.
g) Tidak memudaratkan

Merujuk kepada syarat-syarat di atas, sebahagian ulamak telah memfatwakan haram memakai contact lens yang berwarna (yakni mengubah warna mata yang asal) kerana ia mengubah ciptaan Allah, berupa penipuan/pemalsuan dan meniru perbuatan orang kafir di samping ia memudaratkan sebagaimana disahkan oleh para doctor sendiri. Di tambah lagi bagi perempuan, ia boleh menimbulkan fitnah (iaitu mencuri perhatian lelaki kepadanya).[1]

3. Adapun penggunaan contact lens semada mengambil wudhuk, solat dan puasa; ia tidak menjejaskan ibadah-ibadah tersebut kerana bahagian dalam mata tidaklah wajib dibasuh atau disampaikan air ketika mengambil wudhuk atau ketika mandi (yang wajib ialah bahagian luar sahaja iaitu kelopak mata). Begitu juga dengan puasa; menurut ulamak memasukkan sesuatu ke dalam mata tidaklah membatalkan puasa. Solat pun begitu juga; tidak ada yang akan menjejaskan solat kerana contact lens.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin (http://www.ibn-jebreen.com/).
2. Fatwa Syeikh Mohammad Soleh al-Munajjid (http://islamqa.com/).
3. Fatwa Syeikh Dr Ahmad al-Hija al-Kurdi (http://www.islamic-fatwa.com/)

Nota hujung;

[1] Antara mereka ialah Syeikh Dr. Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin. (Lihat laman web beliau; http://www.ibn-jebreen.com/). Ada ulamak mengharuskannya untuk lelaki sahaja. Adapun wanita, tidak harus melainkan di hadapan suami dan mahram sahaja. Namun keharusan itu dengan syarat tidak mendatangkan mudarat. (Lihat; fatwa Syeikh Dr. Dr Ahmad al-Hija al-Kurdi (http://www.islamic-fatwa.com/)). Mengenai dakwaan mengubah ciptaan Allah –yang dihujjah oleh ulamak yang mengharamkannya kerana factor tersebut-, dijawab oleh ulamak ulamak-ulamak yang mengharuskannya; ia tidaklah dapat dikatakan mengubah ciptaan Allah kerana dapat ditanggalkan, yakni perubahan yang berlaku pada mata kerana contact lens itu tidaklah kekal sebagaimana tatu, sebaliknya dapat ditanggalkan. (Lihat fatwa Syeikh Ibnu ‘Uthaimin; http://www.denana.com/fatawa/articles.aspx?selected_article_no=1494).

MENAMAKAN ANAK

Soalan;

Assalamualaikum uztaz, saya ada membaca komen uztaz tentang menamakan anak dengan nama malaikat.Anak sulung saya (lelaki) akan lahir pada oktober ini (insyaAllah), saya ingin menamakan anak saya dengan nama mikail (malaikat yg menurunkn rezeki), namun saya ingin tahu komen uztaz dan bagaimana ejaan betul mikail dalam tulisan rumi. Adakah mikail atau mikhail atau mikael?sekian terima kasih.

Jawapan;

1. Jumhur ulamak mengharuskan kita memberi nama anak dengan nama malaikat. Berkata Imam an-Nawawi; “Mazhab kami (yakni mazhab Syafi’ie) dan mazhab jumhur ulamak; harus menamakan anak dengan nama para Nabi dan para Malaikat. Al-Harith bin Miskin memakruhkannya. Menurut Imam Malik; makruh menamakan anak dengan nama Jibril” (al-Majmu’, 8/417).[1]

2. Nama yang paling baik ialah Abdullah dan Abdurrahman sebagaimana disabdakan oleh Nabi s.a.w.;

أَحَبُّ الْأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

“Nama yang paling disukai Allah ialah; ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman’” (Hadis riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari ‘Abdullah bin ‘Umar r.a.).

Berkata Syeikh al-Mubarakfuri –ketika mensyarahkan hadis ini-; mengikuti dua nama tersebut nama-nama yang seumpamanya (yakni yang menyandarkan hamba (‘abd) kepada nama Allah) seperti ‘Abdur-Rahim, ‘Abdul-Malik dan ‘Abdus-Somad”.[2]

Menurut Imam an-Nawawi; walaupun nama ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman adalah nama yang paling baik, namun tidak salah menamakan anak dengan nama lain kerana Nabi s.a.w. sendiri pernah menamakan bayi yang dibawa kepadanya dengan nama “al-Munzir”. Dalam Soheh Muslim, terdapat hadis dari Sahl bin Sa’ad r.a. yang menceritakan; Tatkala Abi Usaid dikurniakan seorang anak lelaki, ia membawanya kepada Nabi. Nabi lalu bertanya; ‘Apa nama bayi ini?’. Abi Usaid menjawab; ‘Namanya Fulan, ya Rasulullah’. Nabi membalas; ‘Jangan! Namakanlah ia dengan al-Munzir’. Maka bermula dari hari itu ia dinamakan al-Munzir”. (Soheh Muslim, juz. 14, kitab al-Adab, bab Istihbab Tahnik al-Maulud…).

Menurut ulamak; Nabi s.a.w. menamakan anak Abi Usaid itu dengan nama al-Munzir adalah kerana mengambil sempena nama anak saudaranya bernama al-Munzir bin ‘Amru yang gugur Syahid di Bi’ru Ma’unah (bersama sekumpulan para sahabat) di mana beliau adalah ketua mereka.[3] Ini menunjukkan kepada kita bahawa digalakkan kita memberi nama anak bersempena nama tokoh-tokoh yang berjasa kepada Islam (seperti nama para Nabi, ulamak, syuhadak dan sebagainya).

Abi Musa r.a. menceritakan; “Dilahirkan untukku seorang anak lelaki, lalu aku bawa kepada Nabi s.a.w.. Baginda menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan buah tamar” (Riwayat Imam Muslim; Soheh Muslim, juz. 14, kitab al-Adab, bab Istihbab Tahnik al-Maulud…). Hadis ini menjadi dalil keharusan menamakan anak dengan nama para Nabi.[4]

Untuk penerangan lebih terperinci, sila baca “Panduan Memberi Nama Anak” dalam satu lagi blog saya; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2009/06/panduan-memberi-nama-anak.html).


2. Mengenai cara ejaan; merujuk kepada al-Quran, ejaannya ialah (ميكال) iaitu Mikal.[5] Adapun merujuk kepada hadis, ejaannya ialah (ميكائيل) iaitu Mikail. Antara hadis Nabi ialah;

ما ضحك ميكائيل منذ خلقت النار

“Tidak pernah malaikat Mikail ketawa sejak diciptakan neraka” (Riwayat Imam Ahmad dari Anas r.a.)

Wallahu a’lam.


Nota hujung;
--------------------------------------------------------------------------------

[1] Dinaqalkan dari fatwa Syeikh Mohammad Soleh al-Munajjid (http://islamqa.com/ar/ref/120885/ميكائيل).

[2] Tuhfah al-Ahwaz, jil. 4, Abwab al-Isti’zan wa al-Adab, bab Mu Yustahabbu Minal-Asma.

[3] Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.

[4] Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.

[5] Rujuk surah al-Baqarah, ayat 98.

Rabu, 5 Ogos 2009

TANDA LAILATUL-QADAR

Soalan;

Assalamualaikom..benarkah malam lailatul qadar boleh dilihat tandanya?

Jawapan;

Antara tanda-tanda zahir yang dapat dilihat pada malam al-Qadar (Lailatul-Qadar) dan pada siangnya ialah sebagaimana yang diceritakan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya; “Lailatul-Qadar; malamnya cuaca/udara menyenangkan iaitu tidak panas dan tidak dingin, pada paginya matahari terbit dengan cahaya yang lemah dan kemerahan” (HR Imam Thayalisi dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Hadis ini menurut as-Suyuti; hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7728).

Namun para ulamak menjelaskan; Tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda (Lailatul-Qadar) ia tidak mendapat malam tersebut. Barangkali seorang yang bangun pada malam Lailatul-Qadar itu ia tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya. Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah dari orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadah pada malam itu)” (Lihat; Faidhul-Qadier, Imam al-Minawi, syarah hadis no. 7728).

Wallahu a'lam.

MENUNTUT BAYARAN HUTANG

Soalan;

Saya telah membantu seorang kawan membayar hutangnya. Adakah harus saya meminta dari beliau supaya membayar kembali kepada saya?

Sekian. Terima kasih.

Jawapan;

Menurut kaedah yang ditetapkan ulamak; “Sesiapa melaksanakan kewajipan bagi pihak orang lain dengan niat akan menuntut darinya, harus ia menuntutnya”. Contohnya, seorang yang membantu memberi belanja/nafkah kepada anak orang lain (dengan nafkah/belanja yang diperlukannya) dengan niat akan menuntut kembali dari bapa atau penjaganya, harus ia menuntutnya. Begitu juga, seorang yang membantu membayar hutang orang lain (dan berniat menuntutnya kembali).

Secara amnya, orang yang membantu untuk melaksanakan kewajipan bagi pihak orang lain ada dalam tiga kategori;
1. Ia membantu dengan niat untuk menuntut kembali. Harus ia menuntut kembali.
2. Ia membantu dengan niat sedekah atau pemberian (yakni tanpa niat akan menuntut kembali). Tidak harus ia menuntut kembali selepas itu.
3. Ia membantu tanpa sebarang niat di atas (iaitu tanpa niat untuk menuntut kembali, tidak juga dengan niat sedekah atau hibah). Ia juga tidak harus menuntut kembali.

Kesimpulannya, menuntut kembali hanya harus bagi satu kadaan sahaja dari tiga keadaan di atas iaitu jika disertai dengan niat menuntut.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Qawa’id Wa al-Ushul al-Jami’ah, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, hlm. 148.

Selasa, 4 Ogos 2009

QUNUT NAZILAH

Soalan;

saya nak bertanya.seperti yang kita sedia maklum wabak H1N1 ni dah semakin teruk.sebagai umat Islam di malaysia apakah qunut nazilah sesuai atau solat hajat dilakukan? kerana qunut nazilah seperti yang saya tahu iailah kita memohon untuk kesejahteraan serta kemenangan keatas kaum muslimin yg di timpa bencana oleh org kafir dari segi peperangan,penindasan dn sbgnya.kerana sejarah qunut nazilah itu berlaku kerana mohon kemenangan keatas kaum muslimin atas org kafir.jadi saya mohon jawapan dan pendapat bagi soalan saya.

Jawapan;

Nazilah bermaksud peristiwa atau kejadian yang menyedihkan, mengecewakan atau berupa musibah yang menimpa manusia. Qunut Nazilah disunatkan jika berlaku bencana atau kesengsaraan yang menimpa kaum muslimin. Ia tidak khusus kepada peperangan sahaja, tetapi merangkumi juga kemarau, penularan penyakit, kebuluran atau kemudaratan-kemudaratan lain yang menimpa kaum muslimin. Terdapat hadis dari Anas bin Malik r.a. yang menceritakan;

أن النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم كان لا يقنت إلا إذا دعا لقوم أو دعا على قوم
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. tidak membaca qunut melainkan untuk mendoakan (keselamatan) kepada suatu kaum atau untuk mendoakan (kehancuran) ke atas suatu kaum” (Riwayat Ibnu Khuzaimah. Bulughul-Maram, Kitab as-Solah, bab Sifatu as-Solah)

Qunut baginda untuk keselamatan suatu kaum ialah sebagaimana qunut baginda untuk mendoakan (keselamatan) kaum muslimin yang lemah (mustadhafin) di Mekah. Qunut baginda untuk kehancuran ke atas suatu kaum pula ialah seperti qunut baginda mendoakan balasan Allah ke atas puak Ra’lin dan Zakwan yang membunuh 70 sahahat dari kalagan para qurra’ (huffaz al-Quran) dalam peristiwa yang berlaku di Bi’ru Ma’unah.

2. Qunut nazilah sunat dibaca dalam semua solat fardhu. Masa qunut ialah selepas bangun ruku’ (yakni semasa i’tidal) ketika rakaat paling akhir. Semasa membaca qunut sunat menguatkan suara bagi solat fardhu malam (iaitu maghrib, isyak dan subuh) dan dibaca perlahan bagi solat siang (zohor dan asar). Bagi yang solat berimam, disunatkan mengaminkan sahaja bacaan doa imamnya jika dapat mendengarnya. Jika tidak, hendaklah ia membacanya sendirian sebagaimana juga dalam solat siang (yakni zohor dan asar). Qunut nazilah terhasil dengan sebarang bentuk doa yang berkaitan dengan peristiwa yang berlaku (yakni ia tidak tertentu kepada satu doa khusus sahaja). Semasa membaca qunut sunat mengangkat tangan, kemudian menurunkannya sebaik selesai membaca qunut tanpa disunatkan menyapu tangan ke muka atau ke dada (malah dimakruhkan).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Subulus-Salam, Kitab as-Solah, bab Sifatu as-Solah. Lihat kisah ini dalam Soheh al-Bukhari, kitab al-Witr, bab al-Qunut Qabl al-Ruku’ Wa Ba’dahu.

2. Syarah Soheh Muslim (Imam an-Nawawi), juz. 5, kitab al-Masajid wa Mawadhi’ as-Solah, bab Istihbah al-Qunut Fi Jami’ as-Solah Iza Nazalat Bil-Muslimin Nazilatan.

Isnin, 3 Ogos 2009

MAZI DAN MANDI WAJIB

Soalan;

Assalamulaikum ustaz.. di sini saya mempunyai kemusykilan bahawa seorang wanita yang keluar air mazinya kerana rangsangan seksual hendaklah mandi wajib. Sedangkan artikel yang saya baca dalam page: http://www.jomlayan.com/mybb/mandi-wajib-yang-betul-jakim-t-5880.html tidak menyatakannya. Malah, ia menyebut 3 sebab yang melibatkan kaum perempuan mandi wajib ialah keluarnya darah haid, nifas dan melahirkan anak (wiladah) sahaja. Mohon respons daripada ustaz..

Jawapan;

Keluar mazi tidak mewajibkan mandi. Ia hanya membatalkan wudhuk dan adalah najis. Oleh itu, orang yang keluar mazi dari kemaluannya (sama ada lelaki atau wanita), sebelum ia mengerjakan solat ia wajib membasuh mazi itu dari badan dan pakainnya, kemudian mengambil wudhuk. Untuk mendapat penjelasan lanjut tentang air-air yang keluar dari kemaluan wanita serta hukumnya, sila baca jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/air-yang-keluar-dari-kemaluan-wanita.html). Baca juga perkara-perkara yang mewajibkan mandi secara keseluruhannya di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/04/mandi-wajib.html).

Wallahu a’lam.

Ahad, 2 Ogos 2009

Sijil lahir palsu

Soalan;

Seorang anak lelaki setelah kematian ibu kandungnya diserahkan oleh bapa kandung ketika usia anak 4 tahun kepada keluarga angkat kerana tidak mampu menjaganya. Anak dilahirkan pada 1967 dan dibesarkan di thailand diberi nama Ali bin Ahmad.Sijil kelahiran adalah didaftar di Thailand. Diserahkan kepada keluarga angkat di Malaysia.Atas urusan persekolahan di Malaysia,disebabkan urusan pendaftaran anak angkat agak rumit dan tiada sijil kelahiran Malaysia.Keluarga angkat telah membeli sijil kelahiran kanak-kanak yang telah meninggal dunia..Butiran dlm sijil Nama:Bakar bin Husin, tarikh lahir 10.5.1968 digunakan untuk mendaftar persekolahan anak angkat.Anak ini membesar dengan nama Bakar bin Husin sehingga ke Universiti,berkahwin dan mempunyai anak.

Bagaimana pandangan Islam dalam hal ini?Adakah salah/berdosa menggunakan nama orang yg telah meninggal?Bagaimana pula aqad nikah anak lelaki ini? Status perkahwinan dan anak-anaknya pula?Sedangkan nama anaknya dibin/bintikan kepada nama Bakar.Bukan nama sebenarnya iaitu Ali. Sekian ,terima kasih.


Jawapan;

1. Menasabkan diri kepada bukan bapa yang sebenar adalah suatu dosa di dalam Islam. Ia bercanggah dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah;

وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءكُمْ أَبْنَاءكُمْ ذَلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ ، ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ

“Dia (Alah) tidak menjadikan anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataan di mulutmu sahaja. Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar). Panggillah mereka (anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka; itulah yang adil di sisi Allah…”. (al-Ahzab, ayat 4 dan 5).

Sabda Nabi s.a.w.;

مَنِ ادَّعَى أَبَاً فِي الإسِلاَمِ غَيْرَ أَبِيهِ، يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ، فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

“Sesiapa menyandarkan dirinya –setelah ia berada dalam Islam- kepada bapa yang bukan bapa sebenarnya sedang dia mengetahui orang itu bukan bapanya, maka haram ke atasnya syurga”. (Riwayat Imam Muslim dari Sa’ad bin Abi Waqqas r.a.).

لَيْسَ مِنْ رَجُلٍ ادَّعَى لِغَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُهُ إِلاَّ كَفَرَ

“Tidak ada seorang lelaki menyandar dirinya kepada bukan bapanya (yang sebenar) sedang ia mengetahuinya melainkan ia telah kufur” (Riwayat Imam Muslim dari Abi Zarr r.a.).

Menurut ulamak, maksud kufur di dalam hadis di atas bukanlah kufur yang mengeluarkan dari Islam, akan tetapi kufur nikmat (atau kufur terhadap hak Allah dan hak bapanya).[1] Kecualilah jika ia menghalalkan perkara tersebut –sedang ia mengetahui Allah telah mengharamkannya-, maka ketika itu ia murtad dari agama dan menjadi kafir.[2]

Yang berdosa dalam kes di atas ialah orang yang melakukan penipuan. Adapun penama terbabit ia tidak lah berdosa sebelum ia mengetahuinya. Namun setelah mengetahuinya hendaklah ia mengembalikan namanya kepada bapanya yang asal sebagai menyahut perintah al-Quran dan al-Hadis di atas..

2. Adapun mengenai akad nikah, dalam kes di atas masalah nasab atau bin tidak menjejaskan akad kerana pihak lelaki tidak disyaratkan wali. Kebimbangan adalah jika membabitkan wanita di mana jika seorang wanita dibintikan kepada seorang lelaki yang bukan bapa sebenarnya, kemudian ia berwalikan orang itu ketika akad nikah, maka akad tidak sah kerana berwalikan orang yang bukan walinya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim (Imam an-Nawawi), juz 2, Kitab al-Iman, bab Bayan Hal al-Iman…

2. Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, syarah hadis no. 7672.



[1] Atau perbuatannya menyamai perbuatan orang kafir (an-Nihayah, Imam Ibnu Athir, kalimah “دعا”)

[2] Syarah Soheh Muslim (Imam an-Nawawi), juz 2, Kitab al-Iman, bab Bayan Hal al-Iman…

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...