Rabu, 24 Jun 2009

ZAKAT GAJI DAN PENDAPATAN

Soalan: Bagaimana caranya saya hendak mengeluarkan zakat pendapatan dan gaji?

Jawapan;

Zakat pendapatan termasuk dalam zakat mal mustafad yang dijelaskan tadi. Oleh demikian, cara mengeluarkan zakat ke atasnya tertakluk dengan cara mengeluarkan zakat ke atas mal mustafad tadi dari segi perkiraan haul, nisab dan kadarnya. Huraian lanjut tentang zakat ke atas pendapatan ini adalah seperti berikut;

Jenis-jenis pendapatan

Pendapatan dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu;

a) Pendapatan secara berakad (kontrak); iaitu seseorang mengikat kontrak dengan pihak lain (sama ada kerajaan, syarikat atau individu) untuk melakukan kerja sama ada bersifat guna tenaga atau pemikiran atau kedua-duanya sekali dan sebagai imbalannya ia akan mendapat gaji atau pendapatan secara tetap mengikut harian, mingguan, bulanan atau sebagainya. Pendapatan jenis ini dinamakan sebagai pendapatan gaji.

b) Pendapatan bebas; iaitu seseorang bekerja sendiri tanpa mengikat kontrak dengan orang lain dan pendapatan yang diperolehinya tidak bersifat tetap tetapi berubah-ubah. Pendapatan jenis dinamakan juga pendapat khidmat profesional. Contohnya ialah; pendapatan seorang doktor, peguam, mekanik dan sebagainya.

Perkara terpenting yang membezakan antara dua jenis pendapatan tersebut ialah dari segi sifat pendapatan sama ada tetap dan bersistem atau tidak. Pendapatan secara kontrak adalah tetap dan bersistem mengikut kontrak sama ada harian, mingguan, bulanan atau sebagainya. Sementara pendapatan bebas atau khidmat profesional tidak tetap dan tidak bersistem. Ia adakalanya terhasil dalam jangka masa yang cepat dan adakalanya lambat, adakalanya banyak dan adakalanya sedikit. Walaupun ada perbezaan tersebut, namun antara kedua-duanya ada titik persamaan yang ketara iaitu kerja. Kedua-dua jenis pendapatan tersebut merupakan hasil kerja atau dalam pengertian lain kerja adalah sebab pokok terhasilnya pendapatan tersebut.

Kedua-dua jenis pendapatan di atas wajib dikeluarkan zakat jika mencukupi nisab iaitu kadar minima pendapatan yang ditetapkan Syarak untuk mewajibkan zakat. Selain itu, disyaratkan juga pendapatan itu dari kerja yang halal kerana Allah itu baik dan Ia tidak menerima melainkan yang baik.

Nisab zakat pendapatan

Nisab bagi zakat pendapatan ialah sebagaimana nisab zakat al-Mal al-Mustafad iaitu 85 gram emas. Kiraan nisab hendaklah berdasarkan kepada pendapatan bersih. (Zakat; Menuju Pengurusan Profesional, Mujaini Tarimin, hlm. 62).

Oleh demikian, seseorang yang memperolehi pendapatan bersih tahunan menyamai atau melebihi nilai semasa 85 gram emas, wajiblah ke atasnya mengeluarkan zakat dari harta pendapatannya.

Cara menentukan nisab zakat pendapatan

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa sistem pendapatan hari ini sama ada secara kontrak (yakni pendapatan gaji) atau pendapatan bebas (kerja sendiri) kebiasaannya berdasarkan bulanan. Maka jika penentuan nisab dilakukan dengan melihat kepada jumlah gaji atau pendapatan setiap bulan, sudah tentu bagi kebanyakan orang, gaji atau pendapatan mereka secara bulanan tidak akan mencecah kadar nisab tadi lebih-lebih lagi jika ditolak perbelanjaan-perbelanjaan perlu. Jika ukuran itu dipakai, sudah tentu kebanyakan orang yang makan gaji atau berpendapatan tetap bulanan dari hasil kerja itu tidak perlu mengeluarkan zakat kerana tidak cukup nisab. Sedangkan jika gaji atau pendapatan mereka dikira dalam setahun, maka ia lebih banyak dari hasil perolehan orang lain yang bergiat dalam perniagaan, pertanian, penternakan dan sebagainya. Jadi untuk mengelak berlakunya keadaan di mana orang yang berpendapatan sedikit membayar zakat sedangkan yang berpendapatan banyak tidak mengeluarkan zakat (dengan dakwaan tidak cukup nisab), maka para ulamak memutuskan bahawa nisab zakat gaji atau pendapatan hendaklah dihitung berdasarkan jumlah pendapatan setahun, bukan mengikut jumlah pendapatan bulanan. Jadi, harta-harta perolehan (mal mustafad) pada setiap bulan dicampurkan antara satu sama lain selama setahun, kemudian dari jumlahnya dikira nisab.

Kadar zakat pendapatan

Kadar zakat yang dikenakan ke atas pendapatan ialah 2.5% dari harta bersih setelah ditolak kos/belanja sara hidup asasi.

Langkah-langkah mengeluarkan zakat gaji atau pendapatan

1. Hitungkan jumlah gaji atau pendapatan selama setahun.

2. Kemudian tolak kos dan belanja berikut;

a) Belanja keperluan asasi
b) Hutang-hutang kepada orang lain
c) Cukai kerajaan dihitung

2. Setelah itu, pastikan jumlah yang tinggal mencukupi nisab atau tidak?

3. Jika didapati mencukupi nisab, keluarkan zakat dengan kadar 2.5% dari jumlah pendapatan bersih setelah ditolak kos-kos tadi.

4. Nilai zakat itu boleh dibayar sekaligus untuk setahun atau boleh juga dibayar mengikut bulanan setelah nilai zakat itu dibahagikan dengan 12 bulan.

Wallahu A’lam.

Rujukan:

1. Fiqhu az-Zakah, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, cet. Maktabah Wahbah/Kaherah, Mesir (1994).
2. Zakat Menuju Pengurusan Pfofesional, Mujaini Tarimin.

DI MANA ALLAH ?

Soalan : Assalamualaikum,Ustaz, saya nak tanya, apakah persoalan 'di mana Allah' itu termasukdalam perkara cabang?dan bagaimana pula dengan aqidah orang kebanyakan(orang awam) yang tidak langsung mengetahui mengenai perkaraini(samada persoalan Allah itu ada di mana mana / Allah bersemayam diarash)?
Jawapan :
Perkara tentang Allah tidak harus sesiapa pun memandai-mandai tentangnya. Jawapan yang soheh bagi segala persoalan tentang Allah ialah yang terbit dari al-Quran dan al-Hadith. Termasuklah persoalan "Di mana Allah?". Kita tidak boleh menjawab dengan hanya logik akal, sebaliknya hendaklah menjawab dengan jawapan yang diberikan al-Quran dan Hadith. Persoalan "Di mana Allah?" bukan persoalan cabang kerana ia disentuh oleh banyak ayat al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w.. Kerana itu persoalan tersebut wajib dipelajari oleh umat Islam dengan mengetahui jawapannya dari penjelasan al-Quran dan as-Sunnah, bukan penjelasan ahli falsafah atau ahli kalam kerana aqidah Islam terasnya adalah wahyu, bukan akal atau ramalan atau rasa hati.

Wallahu a'lam.

GANTI PUASA KERANA BERSALIN

Soalan : Salam Ustaz, Saya telah bersalin di awal bulan Ramadahn dan masih blum sempat ganti puasa kerana masih mnyusu badan. Bolehkah sekiranya saya hanya membayar fidyah dan tidak rnenggantikan puasa kerana saya bercadang menyusu badan selama 2 tahun. Sebelum ini saya telah cuba berpuasa semasa menyusu namun tidak mampu kerana terlalau lemah.
Jawapan :
Tidak harus mengabaikan puasa qadha/ganti kecuali orang yang tidak mampu berpuasa lagi sepanjang hayatnya kerana tua atau kerana sakit yang tidak ada harapan lagi untuk sembuh. Jika tidak mampu berpuasa di sepanjang tempoh menyusu, gantilah selepas tempoh itu. Usaha kita untuk memenuhi tuntutan Allah akan diganjari Allah dengan hidayah, taufik dan pahala yang besar.

Wallahu a'lam.

Isnin, 1 Jun 2009

MASALAH FARAID

SOALAN : ASSALMUALAIKUM. ustaz saya ingin bertanya bagaimana pembhagian harta peninggalan arwah ibu saya mengikut faraid kepada
1. Bapa
2.Ibu arwah mak
3.Abang sulung saya yang sudah berkahwin & ada 2 orang anak (lelaki&perempuan)
4.Seorang lagi abang dan adik lelaki saya yang belum berkahwin
5.Saya(anak perempuan) yang sudah berkahwin tetapi tiada anak.
6. 3 orang adik perempuan saya yang belum berkahwin
Saya berharap persoalan ini dapat dirungkaikan. Terima kasih ustaz

JAWAPAN :

Berdasarkan penerangan saudari, Ibu saudari meninggal dengan meninggalkan waris-waris berikut;
1. Suami
2. Ibu (iaitu nenek saudari)
3. 3 orang anak lelaki
4. 4 anak perempuan
5. Cucu-cucu.
Pembahagian faraidnya adalah seperti berikut;
1. Suami; akan mendapat 1/4 dari harta peninggalan.
2. Ibu; akan mendapat 1/6 dari harta peninggalan.
3. Baki harta akan di kongsi oleh anak-anak lelaki dan perempuan dengan nisbah 2:1, yakni anak lelaki akan mendapat sekali ganda bahagian anak perempuan.
4. Adapun cucu-cucu; mereka terhalang dari mendapat harta peninggalan kerana si mati mempunyai anak-anak.
Jika harta dibahagi 12 bahagian, maka suami akan mendapat 4 bahagian (1/4 dari 12), ibu mendapat 2 bahagian (1/6 dari 12) dan bahagian selebihnya (iaitu 6 bahagian) diagihkan antara anak-anak mengikut nisbah tadi.
Wallahu a'lam.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...