Ahad, 29 Mac 2009

BERNAZAR UNTUK DORONG DIRI

Soalan : salam, bolehkan bernazar untuk tujuan menghalang daripada melakukan dosa berterusan, contoh : aku bernazar puasa sehari jika aku terus beli nombor ekor lagi. t.kasih.

Jawapan :

Wajib saudara menjauhi maksiat walaupun tanpa mengikatnya dengan nazar. Dekatkan diri dengan Allah, tunaikan ibadah fardhu dengan sempurna, banyakkan amalan sunat dan pada masa yang sama semaikan dalam hati perasaan takut kepada Allah, Insya Allah akan mudah saudara menjauhi maksiat. Nazar tidak akan mengubah apa-apa jika tanpa semangat diri yang kuat untuk berubah.

Nazar saudara itu dinamakan dalam Fiqh sebagai nazar lijaj iaitu nazar kerana marah. Ia hampir menyerupai sumpah, iaitu seolah-olah saudara bersumpah akan berpuasa satu hari jika saudara beli nombor ekor lagi. Kerana itu, menurut ulamak jika syarat dalam nazar lijaj itu dilanggari, si yang bernazar hendaklah memilih antara mengotakan nazarnya atau membayar kaffarah sumpah. Oleh itu, dalam kes saudara jika saudara melanggar syarat dalam nazar saudara itu (yakni membeli nombor ekor), saudara hendaklah memilih antara berpuasa sehari atau membayar kaffarah (denda) sumpah.

Wallahu a'lam.


Rujukan;

1. al-Mujmu', Imama n-Nawawi, bab an-Nazr, 8/350-351.

Nota hujung;

1. Dalam kitab al-Majmu'; an-Nazr al-Lajaj (atau al-Ghadhab) ialah seseorang itu menegah dirinya dari suatu perbuatan atau mendorong dirinya supaya melakukan sesuatu dengan mengikatnya dengan iltizam (mewajibkan atas diri) untuk melakukan suatu qurbah (amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah) sama ada berupa perbuatan atau meninggalkan larangan. Dalam mazhab Syafi'ie sendiri, di kalangan ulamak mazhab terdapat khilaf tentang kedudukan nazar ini. Namun menurut Imam an-Nawawi; yang rajih (al-Asah) ialah diberi pilihan antara melaksanakan apa yang dinazarkan dan membayar kaffarah sumpah. (jilid 8, halaman 350-351)

Jumaat, 20 Mac 2009

TUMBUHAN YANG MEMABUKKAN

Soalan:
Assalamualaikum ustaz.
Dalam persoalan sebelum ini yang berkaitan DADAH & BAHAN YANG MENGKHAYALKAN.Saya ingin bertanya kepada ustaz, bagaimana pula tumbuh-tumbuhan / pokok-pokok yang memabukkan.


Jawapan :
Dalam persoalan yang lalu telah dinyatakan bahawa setiap perkara yang memabukkan dan mengkhayalkan sama ada berbentuk minuman atau makanan, hukumnya adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian umum hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;
كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَاْمٌ
“Setiap yang memabukkan adalah haram”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibn Umar r.a.)[1]
Jadi termasuk yang diharamkan Syara’ memakannya ialah tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok yang boleh menyebabkan mabuk atau khayal atau melalikan seperti ganja dan sebagainya.
Dari segi hukuman ke atas orang-orang yang memakannya, maka –menurut pandangan ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie- ia tidak dikenakan hukuman had (sebagaimana peminum arak), tetapi hanya dikenakan hukuman takzir yakni diserahkan kepada hakim untuk menetapkan hukuman asalkan tidak melebihi hukuman had yang ditetapkan Syara’.[2] Dalam hal ini Imam an-Nawawi menaqalkan dari Imam ar-Ruyani yang menyatakan;
“Tumbuh-tumbuhan yang memabukkan haram memakannya, akan tetapi tidak dikenakan hukuman had ke atas orang yang memakannya”.[3]
Namun hukum haram memakan tumbuh-tumbuhan yang memabukkan atau mengkhayalkan itu terdapat pengecualian bagi beberapa keadaan khususnya bagi tujuan perubatan.
Imam an-Nawawi menaqalkan dalam kitabnya al-Majmu’ dari Imam ar-Ruyani –secara ringkasnya- menyatakan; “Dan harus menggunakannya (yakni tumbuh-tumbuhan yang memabukkan) untuk tujuan perubatan jika tidak dapat dielakkan daripadanya. Sekiranya terdapat jenis tumbuhan yang hanya menyebabkan mabuk bila digunakan bersama bahan yang lain, maka memakannya juga haram hukumnya kecuali dimanfaatkan untuk tujuan berubat”.[4]
Lebih terperinci, para ulama’ meletakkan tiga keadaan yang mengharuskan penggunaan tumbuh-tumbuhan tersebut iaitu;[5]

1. Ketika darurat
Dalam keadaan daruat kerana ketiadaan makanan yang lain harus memakannya dengan kadar yang diperlukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa dan badan dari maut.

2. Untuk tujuan perubatan
Umpamanya seorang doktor mencadangkan satu ubat kepada si pesakit di mana ubat tersebut terdapat campuran bahan yang memabukkan sama ada dari tumbuh-tumbuhan atau sebagainya. Maka dalam hal ini, si pesakit harus memakannya jika ketiadaan ubat yang lain dan ia amat memerlukannya.
Namun para ulama’ mensyaratkan; hendaklah dengan berlakunya campuran tersebut sifat-sifat atau cirri-ciri yang memabukkan atau mengkhayalkan yang ada pada bahan tersebut akan hilang. Adapun sesuatu bahan yang memabukkan yang tidak hilang sifat-sifatnya yang memabukkan itu walaupun dicampur dengan ubat-ubatan yang lain, maka tidak harus memakan atau menggunakannya untuk tujuan penyembuhan, walaupun diarahkan atau dinasihatkan oleh doctor.
Suatu bahan yang secara total memabukkan/ mengkhayalkan -yang tidak akan hilang sifatnya yang memabukkan/melalikan sekalipun setelah dicampur dengan bahan lain- mustahil akan menjadi ubat tunggal bagi mana-mana penyakit. Bahkan mudarat yang tersembunyi di dalamnya kemungkinan lebih merbahaya dari faedah atau kebaikan yang bakal diperolehi tatkala menggunakannya.
Seorang sahabat Nabi s.a.w. bernama Thariq bin Suwaid al-Hadhrami r.a. pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang arak yang digunakan untuk menyembuhkan orang sakit. Lalu Nabi s.a.w. menjawab;
إِنَّ ذلِكَ لَيْسَ بِشِفَاءٍ. وَلكِنَّهُ دَاؤٌ
“Sesungguhnya ia bukanlah pemyembuhan, tetapi penyakit”. (Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah dan at-Thabrani)

Ibnu Mas’ud pernah berkata;

إِنَّ اللّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ
“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhanmu dalam perkara yang diharamkanNya ke atas kamu”. (Riwayat Imam Bukhari)[6]

3. Dalam pembedahan
Iaitu doctor terpaksa menggunakannya ketika menjalankan pembedahan sebagai ubat penahan sakit di mana si pesakit yang hendak dibedah tidak berupaya menanggung kesakitan jika tidak diberikannya. Dalam hal ini tidak ditegah menggunakannya sama ada dengan suntikan, diminum atau sebagainya. Ini kerana kesakitan yang bersangatan dikira sebagai suatu dharurat pada pandangan Syara’.

Wallahualam

[1] Bulughul Maram, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, bab Haddu asy-Syarib wa bayan al-muskir, hadis no. 1160.
[2] al-Fiqhul Manhaji a’la Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie,Dr. Musthafa al-Bugha, Dr. Musthafa al-Khin dan ‘Ali Syarbaji, jil. 3, hlm. 84-85.
[3] Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 9, hlm. 30.
[4] Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 9, hlm. 30.
[5] al-Fiqhul Manhaji a’la Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie,Dr. Musthafa al-Bugha, Dr. Musthafa al-Khin dan ‘Ali Syarbaji, jil. 3, hlm. 85 dan 86.
[6] Dalam riwayat yang lain, hadis ini disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. dari Ummu Salamah r.a. Menurut Imam at-Thabrani, hadis ini adalah soheh. (Lihat al-Jami’ as-Shaghir, no. 1773).

Rabu, 18 Mac 2009

DADAH DAN BAHAN YANG MENGKHAYALKAN

Soalan: Assalamualaikum ustaz.Saya ada satu persoalan.Apakah pandangan Islam berkaitan dadah dan bahan-bahan yang mengkhayalkan?

Jawapan ;

Diantara benda yang dilarang keras oleh Islam memakan atau mengambilnya ialah al-mukhaddirat iaitu bahan-bahan yang boleh menyebabkan khayal atau tidak sedarkan diri seperti dadah, candu (opium), ganja, pil-pil khayal dan sebagainya. Larangan ini adalah kerana ia mendatangkan mudarat kepada aqal dan badan serta boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit dan kesan-kesan negatif yang lain.[1]

Semua jenis bahan yang mengkhayalkan di atas diharamkan oleh Syara’ dalam apa saja bentuk atau cara pengambilannya (sama ada melalui suntikan, menghisap, meminum dan sebagainya). Pengharamannya termasuk dalam hukum benda-benda yang memabukkan (المسكرات) yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya tadi iaitu;

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ ، وَ كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَاْمٌ

“Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibn Umar r.a.)[2]

Saidina Umar r.a. tatkala menjelas tentang hakikat khamar (arak) yang diharamkan Syara’, beliau menyatakan;

اَلْخَمْرُ مَاْ خَاْمَرَ الْعَقْلَ

“Khamar itu ialah semua bahan yang dapat menutupi aqal”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)[3]

Dalam kitab Subulussalam, pengarangnya iaitu Imam As-Sonani menjelaskan; “Dan diharamkan apa yang boleh memabukkan dari apa jenis sekalipun, walaupun ia bukan dari minuman, contohnya ialah al-hasyisyah (ganja)”.[4]

Terdapat riwayat dari isteri Nabi s.a.w. iaitu Ummu Salamah r.a. yang menyatakan;

نَهَى رَسُوْلُ اللهِ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ مُفْتِرٍ

“Rasulullah s.a.w. menegah daripada semua yang memabukkan lagi melemahkan”. (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Menurut Imam al-Khathabi; maksud al-Mufthir dalam hadis ini ialah segala jenis minuman yang boleh melesukan dan melemahkan anggota badan. Imam al-‘Iraqi dan Ibnu Taimiah telah menyatakan bahawa para ulama’ telah ijma’ (sepakat) atas haramnya al-hasyisyah (sejenis tumbuhan yang memabukkan) dan sesiapa yang menganggapnya halal adalah kafir.[5]

Berkata Imam Ibnul-Qayyim dalam kitabnya “زاد المعاد”; “Sesungguhnya pengharaman khamar tergolong di dalam pengertiannya setiap yang boleh memabukkan (menghilangkan aqal) sama ada ianya cair atau pejal, perahan atau dimasak….”.[6]


Wallahualam



[1] Al-Halal Wa al-Haram, Dr. Yusof al-Qardhawi, hlm. 76-77 dan al-Fiqhul Manhaji a’la Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie,Dr. Musthafa al-Bugha, Dr. Musthafa al-Khin dan ‘Ali Syarbaji, jil. 3, hlm. 84.

[2] Bulughul Maram, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, bab Haddu asy-Syarib wa bayan al-muskir, hadis no. 1160.

[3] Al-Halal wa al-Haram, Dr. Yusof al-Qaradhawi, hlm. 72.

[4] Subulussalam, Imam Muhammad Ibn. Ismail an-Son’ani, jil. 4, hlm. 46.

[5] Subulussalam, Imam Muhammad Ibn. Ismail an-Son’ani, jil. 4, hlm. 46.

[6] Zadul Ma’ad, Imam Ibnul Qayyim al-Jauziah, jil. 5, hlm. 747.

NAZAR

Soalan:salam ustaz.
saya ada soalan yang hendak ditanyakan pada ustaz ni saya pernah bernazar jika saya dapt kerja saya akan berhenti merokok namun saya hanya dapat bertahan selama setahun je.
jadi dalam masa selepas 2 saya merokok semula.apa hukumnya ustaz dan apa yang saya perlu lakukan.

Jawapan:

Yang dikatakan nazar ialah; mewajibkan ke atas diri suatu amalan taqarrub ilallah (yakni amalan mendekatkan diri kepada Allah) yang mana amalan itu status asalnya adalah sunat, kemudian diwajibkan oleh seseorang ke atas dirinya dengan bernazar. Suatu yang telah wajib tidak boleh dinazarkan kerana ia sememangnya mesti dilakukan sekalipun tidak dinazarkan. Cthnya; bernazar untuk melakukan solat lima waktu atau bernazar untuk meninggalkan zina. Nazar tersebut adalah tidak sah kerana mengerjakan solat dan meninggalkan zina sememangnya telah wajib dari awal lagi.
Para ulamak rata-rata telah memfatwakan bahawa merokok adalah haram. Kerana itu saudara wajib berusaha meninggalkannya sekalipun tanpa bernazar. Melihat kepada hukum di atas, nazar saudara untuk meninggalkan rokok itu adalah tidak sah kerana saudara bernazar sesuatu yang wajib saudara lakukan.
Menurut ulamak; seorang yang bernazar dan nazarnya tidak sah, dia hendaklah menggantikan nazarnya itu dengan membayar kifarat sumpah kerana Nabi s.a.w. bersabda; "Kifarat bagi nazar adalah sama seperti kifarat bagi sumpah". Untuk mengetahui tentang kifarat sumpah, sila baca di dalam blog saya (ilmudanulamak.blogspot.com) dan gunakan enjin carian dengan menaip "sumpah" atau "nazar".
Wallahu a'lam.

Sabtu, 14 Mac 2009

BERAMAL DENGAN BANYAK MAZHAB

Soalan : Ustaz, saya ingin bertanya tentang hukum beramal dengan pelbagai mazhab sebab dalam website ustaz, ustaz selalu sertakan pendapat beberapa mazhab apabila ditanya tentang satu2 hukum. Kita di malaysia mengguna pakai mazhab Imam Syafie ustaz kan? Bolehkah saya gunapakai mazhab syafie untuk sesetengah ibadah dan mazhab lain untuk ibadah yang lain? Ataupun adakah perlu pilih satu mazhab dan ikut keseluruhannya?

Jawapan :

Tidak ada nas yang mewajibkan seseorang untuk terikat dengan mazhab tertentu. Pelajarilah agama dengan sebaik mungkin mengikut kemampuan yang ada dan beramallah dengan pandangan yang saudara yakin bahawa ia paling menepati kehendak al-Quran dan as-Sunnah. Mungkin diperingkat awal saudara perlu bertaklid kepada sesuatu pandangan (tanpa dalil) sebagai langkah awal untuk beramal. Tetapi tidak harus selama-lamanya bertaklid. Hendaklah belajar (sama ada melalui guru atau pembacaan) dan beramal berdasarkan ilmu dan hujjah, bukan semata-mata mengikut sahaja.
Wallahu a'lam.

QADA SOLAT

Soalan : assalamualaikum ustaz,bagaimana hendak qada solat yg telah lama tertinggal? contohya jika ingin qada solat subuh,adakah perlu qada selepas kita selesai slt subuh atau sebelum kita solat subuh pada hari berikutnya? bagaimana pula niat untuk qada solat?

Jawapan ;

Solat qadha harus dilakukan pada bila-bila masa termasuk pada waktu-waktu yang dilarang (yakni selepas solat subuh, selepas asar dan sebagainya). Solat qadha juga tidak terikat dengan waktunya. Kerana itu, harus qadha subuh dilakukan pada waktu zohor, asar atau sebagainya.
Niat solat qadha sama sebagaimana solat tunai, contohnya (jika kita qadha subuh), memadai kita niatkan di dalam hati; "sahaja aku menunaikan solat subuh dua rakaat kerana Allah". Tidak wajib kita meniatkan qadha (solat ganti). Ia hanya disunatkan sahaja.
Wallahu a'lam.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...