Isnin, 30 Julai 2007

DI MANA ROH SELEPAS MATI?

Soalan; Di mana ruh ditempatkan selepas mati? Apakah ia mempunyai hubungan dengan jasad yang ditanam di bumi?

Jawapan;

Terdapat banyak pandangan ulamak dalam masalah ini, antaranya;

Pendapat pertama: Ruh orang-orang beriman sama ada para Nabi atau syuhadak ditempatkan di dalam syurga. Adapun ruh-ruh orang kafir ditempatkan di dalam neraka. Ini adalah pendapat Abu Hurairah, Ibnu Umar, Imam Ahmad, Imam Syafi’ie dan Ibnu Kathir (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 154).

Pendapat kedua: Ruh-ruh orang beriman berada di langit yang ke tujuh di tempat bernama ‘Illiyyiin, sedangkan ruh-ruh orang kafir berada di lapisan bumi yang ke tujuh di tempat bernama Sijjin (penjara). Ini adalah pendapat Kaab dan Syeikh Abu Bakar al-Jazairi.

Pendapat ketiga: Ruh-ruh orang beriman akan berada di halaman kubur masing-masing di mana kubur-kubur mereka dilapangkan oleh Allah, kecuali ruh orang-orang mati syahid yang ditempatkan di dalam syurga. Adapun ruh-ruh orang kafir, ia ditahan/dipenjara di bawah lapisan bumi yang ke tujuh. Ini adalah pendapat sekumpulan ulamak. Pendapat inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Baijuri dalam kitabnya Syarah Jauharah at-Tauhid sebagai soheh. Menurut Imam Mujahid; ruh menetap di dalam kubur sehingga seminggu sahaja dari hari ia dikuburkan, kemudian ditempatkan di tempat yang lain.

Pendapat keempat: Ruh berada di suatu tempat di mana ia berada ketika jasadnya belum diciptakan. Ini adalah pendapat Ibnu Hazm.

Pendapat kelima: Ruh orang beriman berada di barzakh di bumi di mana ia bebas dapat pergi ke mana-mana menurut kehendaknya. Ini adalah pendapat Salman al-Farisi dan Imam Malik.

Perbezaan pendapat di atas adalah kerana wujudnya perbezaan dalil yang menjadi rujukan masing-masing. Kerana itu Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya ar-Ruh, setelah beliau membentang pendapat-pendapat yang pelbagai tadi, beliau membuat ulasan bahawa ruh-ruh di alam barzakh berbeza-beza tempat dan tingkatnya mengikut kedudukan masing-masing di sisi Allah;
· Ada ruh yang ditempatkan di ‘Illiyyin pada daerah yang paling tinggi iaitu ruh para Nabi,
· Ada ruh yang ditempatkan di dalam syurga seperti ruh para Syuhadak,
· Ada ruh yang ditempatkan dipintu syurga,
· Ada ruh yang ditempatkan di bumi,
· Ada ruh yang berada lapisan terbawah dari bumi,
· Ada ruh yang berenang dalam lautan darah (sebagaimana dilihat Nabi s.a.w. dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj).

Kesimpulannya, ruh-ruh tidak berada di satu tempat. Sebagai menegaskan pandangan beliau, Imam Ibnul-Qayyim menjelaskan; “Jka kita analisis serta hayati hadis-hadis atau riwayat tersebut, maka kita akan menyimpulkan bahawa tidak ada dalil-dalil soheh yang saling bertentangan antara satu sama lain. Inilah hujah yang benar dan dapat dijadikan pegangan”.

Hubungan ruh dengan jasad

Ruh-ruh selepas mati walaupun berada di tempat yang jauh (di syurga, di langit dan sebagainya mengikut pendapat-pendapat tadi), namun ia masih mempunyai hubungan secara langsung dengan kuburnya yang mengandungi jasadnya. Dengan adanya hubungan itu, ruh akan membalas salam orang yang datang berziarah ke kuburnya dan tidaklah mustahil bagi ruh itu untuk kembali ke jasadnya dalam waktu yang amat pantas dari tempat tinggalnya dengan izin Allah. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda; “Tidak ada seorangpun yang melalui kubur saudaranya yang muslim yang dikenalinya di dunia, lalu ia memberi salam kepadanya melainkan akan dikembalikan ruh kepadanya sehingga ia dapat menjawab salam”.

Begitu juga dengan adanya hubungan itu, jasad akan turut merasai nikmat atau azab yang dikenakan ke atas ruh di alam barzakh. Kesimpulannya; di alam barzakh sekalipun ruh dengan jasad terpisah, namun hubungan antara keduanya masih ada.

Wallahu A’lam.

Rujukan;


1. Ar-Ruh, Ibnul-Qayyim al-Jauziyyah.
2. Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 154.
3. Aqidah al-Muslim, Syeikh Abu Bakar al-Jazairi.
4. Syarh Jauharah at-Tauhid, Imam al-Baijuri.

Khamis, 12 Julai 2007

MATI MALAM JUMAAT

Soalan; benarkah orang beriman yang mati pada malam jumaat atau hari jumaat akan selamat dari siksa kubur?

Jawapan;

Terdapat hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. berbunyi:

مَاْ مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوْتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلاَّ وَقَاهُ اللهُ تَعَالَى فِتْنَةَ الْقَبْرِ
“Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari jumaat atau malamnya melainkan Allah akan selamatkannya dari fitnah kubur”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan at-Thabrani dari Abdullah bin Amru r.a.)[1]

Maksud fitnah kubur d dalam hadis di atas ialah azab kubur dan soalan malaikat di dalamnya. Sebab keselamatan tersebut menurut yang dijelaskan oleh ulamak ialah kerana kemuliaan hari jumaat. Hadis ini menunjukkan bahawa kemuliaan masa boleh memberi kesan yang besar, sama seperti kelebihan tempat.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 8108.
2. Tuhfah al-Ahwazi, Muhammad bin Abdurrahman al-Mubarakfuri, juz. 3, bab Ma Ja-a Fi Man Mata Yaum al-Jumu’ah.
[1] Menurut Syeikh al-Albani, hadis ini jika dihimpunkan keseluruhan jalan periwayatannya, maka darjahnya adalah hasan. (Lihat kitab beliau; Ahkam al-Janaiz, di bawah tajuk; ‘Alamati husnul-khatimah).

Selasa, 10 Julai 2007

TARJIH & TALFIQ

Soalan ;

Assalamualaikum ya ustaz.....

Apakah perbezaan talfiq dan tarjih? Adakah kekuatan dalil yang telah dijumpai setelah kajian dibuat dalam sesuatu masalah hukum melalui pandangan-pandangan empat mazhab dipanggil sebagai talfiq juga?

Jawapan 1 :

Tarjih bermaksud membuat penilaian dan pemilihan terhadap dalil-dalil yang dilihat bertentangan atau terhadap beberapa pandangan yang berlawanan iaitu dengan menselarikan antara dalil-dalil jika dapat dilakukan atau memastikan dalil yang mana paling kuat jika tidak dapat diselarikan.

Jika tarjih dibuat terhadap pandangan-pandangan, tujuannya ialah untuk memastikan pandangan mana yang paling kuat dalilnya atau paling menepati segi syarak.Pentarjihan harus dilakukan oleh orang-orang berkelayakan samada mujtahid atau fuqaha’ dan tidak harus sewenang-wenangnya diserahkan kepada orang yang jahil atau medakwa alim kerana boleh membawa kepada merosakkan agama.

Proses pentarjihan berjalan sejak dari dulu hingga ke hari ini.Para ulama’ yang menjadi sandaran umat pada zamannya akan membuat tarjih terhadap pandangan-pandangan yang berbeza oleh ulama’-ulama’ sebelumnya dalam sesuatu kes supaya orang awamdapat mengetahui dan beramal dengan pandangan yang paling tepat dengan hukum syarak.

Imam Nawawi sebagai contohnya di dalam berdepan dengan masalah seorang yang terpaksa solat dalam keadaan tidak bersuci kerana tidak ada air untuk mengambil wudhu’ dan tidak da debu untuk bertayammum.Adakah ia wajid solat juga dan adakah wajib ia mengulangi solatnya?

Sebelum beliau ada 4 pandangan ulama’ :

i. Wajib solat dan wajid ulang.
ii.Haram solat.Mesti tunggu hingga dapat bersuci baru tunaikan solat sekalipun di luar waktu.
iii.Sunat solat dan wajib diulangi solat tersebut.
iv.Wajib solat dan tidak wajid mengulanginya.

Imam Nawawi dalam tarjih beliau telah memilih pandangan yang keempat kerana menurut beliau pandangan itu menepati syarak. (lihat Syarah Sahih Muslim).

Itu adalah satu contoh dari ribuan tarjih yang dilakukan ulama’.Kita sebagai orang awam hendaklah sentiasa mendampingi ulama’ dan beramal dengan tarjih mereka.Adapun kita hendak memandai-mandai sendiri tidak harus.

Pada hari ini, contoh ulama’ yang mempunyai kelayakan untuk melakukan tarjih ialah Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi.Keilmuan beliau diakui oleh ulama-ulama sezaman dan umat Islam sendiri.

Dalam masalah zakat ke atas produk pertanian sebagai contohnya, dikalangan ulama-ulama silam ada yang menyempitkan skop pertanian yang wajid zakat kepada jenis-jenis tertentu sahaja.

Mazhab Syafie hanya mewajidkan zakat pertanian ke atas bijian yang menjadi makanan ruji masyarakat setempat.Namun, ada ulama yang memperluaskan skop pertanian yang wajid zakat kepada semua jenis pertanian asalkan memenuhi syarat-syarat dari segi nisab dan sebagainya yang ditetapkan syarak.Maka, Dr Yusuf Qaradhawi dalam buku Fiqh Al Zakat tulisan beliau telah mentarjihkan pandangan yang kedua dan tarjih beliau diterima dan diamalkan oleh keseluruhan negara umat Islam hari ini.

Jawapan 2 :

Adapun masalah talfiq, ia diharuskan jika tujuannya bukan untuk mempermudah-mudahkan agama seperti sengaja mencari pandangan-pandangan yang senang dan mudah dari mazhab-mazhab yang ada untuk menjadi amalan atau pegangan agama.Talfiq sebegini akan membawa kepada rosak agama jika dibenarkan.

Talfiq bermaksud : seseorang itu mengikut / bertaqlid satu mazhab tertentu dalam ibadahnya, kemudian dalam satu keadaan atau bahagian-bahagian tertentu ia mengikuti / bertaqlid pula kepada mazhab atau pandangan yang lain.Adakah perbuatan ini harus?

Menurut ulama, sekalipun seorang itu bertaqlid kepada suatu mazhab, tidak haram baginya untuk berpindah mazhab secara keseluruhannya atau pada masalah-masalah tertentu.Tetapi keharusan itu tertakhluk dengan syarat-syarat berikut:

i. Hendaklah mazhab yang diikuti merupakan mazhab yang masyhur khususnya mazhab-mazhab yang empat.Jika pandangan atau tarjih hendaklah dari ulama yang diiktiraf dan diakui oleh umat akan keilmuannya.
ii.Tidak bertujuan mencari yang mudah-mudah dari pandangan-pandangan mazhab.
iii.Tidak membuat himpunan antara mazhab-mazhab dalam bentuk yang membawa akan percanggahan dengan pandangan sekalian ulama atau ijma’ mereka.

Contohnya, seorang berkahwin tanpa wali kerana bertaqlid kepada mazhab Imam Abu Hanifah yang tidak mensyaratkan wali dalam akad perkahwinan.Tanpa saksi kerana bertaqlid kepada mazhab Imam Malik yang tidak mewajidkan saksi dan tanpa mas kahwin kerana bertaqlid kepada mazhab Abu Hanifah yang mengharuskan jika diletakkan syarat oleh pihak lelaki dan dipersetujui oleh pihak perempuan.Perkahwinan tanpa tiga perkara tersebut tidak dianggap sah oleh sekalian ulama.

Maka talfiq sebegini adalah haram kerana menyalahi ijma’ ulama.( Rujuk Taqrib Al Usul, Abi Al Qasim al Gharnati halaman 158 ).

Menurut Dr Abd Karim Zaidan, " Harus seorang pengikut mazhab mengikut atau beramal dengan pandangan mazhab lain asalkan hal tersebut dilakukannya kerana suatu dalil yang mengajaknya untuk berpindah dari mazhabnya ke mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu.Begitu juga harus ia bertanya ulama yang bukan dari mazhabnya berkenaan suatu hukum syarak dalam suatu masalah dan beramal dengan fatwa yang diberikan." ( Al Wajiz Fi Usul – Fiqh; halama 409 )

Wallahulam

Rujukan

1. Yas alunaka Fi ad-Din wa al-Hayah, Dr Ahmad As Syirbasi, jilid 1 dan 5.
2. Fatawa Syariyyah, Syeikh Hasanin Makhluf, juzuk 1.
3. Taqrib al Usul ila ilmu al-Usul, Imam Abi Qasim al Gharnati ( wafat 741 H ).
4. Al Wajiz Fi Usul Fiqh, Dr Abd Karim Zaidan
5. Usul Fiqh, Syeikh Muhammad Al Hudari

Khamis, 5 Julai 2007

PERLUKAH AKAD NIKAH KALI KEDUA?

SOALAN; Ustaz saya ada kemusykilan,perlukah perempuan yang hamil anak luar nikah dinikahkan sekali lagi,ini kerana lelaki yang menghamilkan dia telah bertanggungjawab dan menikahinya,tetapi ada yang mengatakan perlu di akad nikah sekali lagi setelah melahirkan anak.Boleh ustaz jelaskan?

Jawapan;

Wallahu A’lam tentang pandangan tersebut. Sekadar yang saya tahu, dalam masalah mengahwini wanita hamil kerana berzina ada dua pandangan ulamak;

a) Pandangan pertama; wanita yang hamil kerana berzina tidak harus dinikahi sehinggalah ia melahirkan anaknya. Pandangan ini merupakan pendapat Imam Rabi’ah, as-Tsauri, al-Auza’ie dan Ishaq dan ia merupakan pegangan mazhab Imam Malik dan mazhab Imam Ahmad. Ini kerana menurut mereka, wanita yang melakukan persetubuhan zina wajib ke atasnya beriddah selama tiga kali haid atau tiga bulan (mengikut pendapat Imam Malik) atau dengan melahirkan anak jika ia hamil. Jika wanita yang berzina itu mempunyai suami, haram ke atas suaminya mensetubuhinya hinggalah tamat iddahnya itu. Kesimpulannya; mengikut pandangan ini, wanita yang berzina tidak harus dikahwini kecuali setelah tamat iddahnya iaitu tiga kali suci atau tiga bulan. Jika ia hamil tidak harus dikahwini kecuali setelah melahirkan anak. Di samping itu mereka menambah satu lagi syarat iaitu hendaklah wanita itu telah bertaubat dari zina.

b) Pandangan kedua iaitu pandangan Imam Syafi’ie dan juga Imam Abu Hanifah; wanita yang hamil kerana berzina harus dikahwini sama ada oleh lelaki yang berzina dengannya atau dengan lelaki lain, namun tidak harus mensetubuhinya hinggalah ia melahirkan anak yang dikandungnya mengikut pandangan Imam Abu Hanifah. Menurut Imam Syafi’ie; makruh mensetubuhinya dalam keadaan hamilnya itu. Bagi pandangan ini, tidak ada kehormatan bagi zina untuk mewajibkan iddah ke atas wanita yang berzina. Oleh demikian, harus ia dikahwini pada bila-bila masa sama ada oleh lelaki yang berzina dengannya atau lelaki lain sekalipun ia sedang hamil. Cuma jika ia sedang hamil diharamkan mensetubuhinya (mengikut mazhab hanafi) atau dimakruhkan (menurut mazhab Syafi’ie) sehinggalah ia melahirkan anak. Selain itu –menurut pandangan ini juga- jika wanita yang berzina itu mempunyai suami harus suaminya mensetubuhinya tanpa perlu menunggu tempoh iddah tertentu sebagaimana pandangan pertama tadi.

Kesimpulannya, menurut pandangan kedua wanita yang hamil harus dikahwini sama ada oleh lelaki yang berzina dengannya atau dengan lelaki lain. Jadi, mengikut pandangan ini akad perkahwinan antara mereka berdua adalah sah.
Wallahu A’lam.

Isnin, 2 Julai 2007

KEDUDUKAN JARI KAKI KETIKA SUJUD

Soalan : Bagaimana pula dengan jemari kaki ketika sujud? Perlukah di'lipat' atau tidak?

Jawapan ;

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan; sabda Nabi s.a.w.; “Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh tulang (yakni tujuh anggota) iaitu; dahi –baginda menunjukkan dengan tangannya ke atas hidungnya-, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua kaki…”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Berdasarkan hadis di atas, ketika sujud wajib ke semua tujuh anggota di atas diletakkan di atas lantai. Bagi dahi, memadai meletakkan sebahagian dahi sahaja di atas lantai. Bagi tangan yang dikira ialah tapak tangan dan bagi kaki pula ialah perut-perut anak jari kaki. Memadai dengan meletakkan sebahagian sahaja dari perut-perut anak jari kaki itu. Jika seseorang itu sujud di atas belakang tangan atau belakang anak-anak jari kakinya (yakni bahagian kuku), tidak sah sujudnya.

Kesimpulannya, ketika sujud sekurang-kurangnya sebahagian jari kaki diletakkan di atas tanah atau lantai. Yang dikira ialah jari-jari bahagian tapak, bukan bahagian kuku. Namun yang paling sempurna ialah dengan meletakkan keseluruhan jari-jari kaki di atas lantai dengan melipatnya mengadap ke arah kiblat.

Wallahu A’lam.

ANGKAT TAKBIR DENGAN JARI TIDAK LURUS

Soalan ; Bolehkan seseorang mengangkat takbir dgn jejari tidak lurus (sekadar mengangkatkan kedua tapak tgn dgn jemari yg hampir terlikup)?

Jawapan ;

Dari Salim yang meriwayatkan dari Bapanya r.a. menceritakan; “Aku melihat Rasulullah s.a.w. apabila memulakan solat, baginda mengangkat dua tangannya hingga setentang dengan dua bahunya, begitu juga sebelum baginda ruku’ dan apabila baginda bangkit dari Ruku’. Namun baginda tidak mengangkat kedua tangannya antara dua sujud”. (Riwayat Imam Muslim)

Dari Malik bin al-Huwairith r.a. menceritakan; “Bahawa Rasulullah s.a.w. apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama tadi”. (Riwayat Imam Muslim)

Dengan menggabungkan dua hadis di atas, dapat kita simpulkan bahawa; semasa bertakbir dua tangan hendaklah diangkat setentang dengan bahu (dilihat secara menegak ke bawah) dan setentang dengan telinga (dilihat secara melintang). Menurut perincian ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie, cara mengangkat tangan yang sempurna ketika takbir ialah; dua tangan diangkat hingga hujung-hujung jari setentang dengan ujung telinga, dua ibu jari setentang dengan bahagian bawah telinga (yakni tempat dipakaikan subang/anting-anting) dan dua tapak tangan setentang dengan bahu. Dua tapak tangan itu hendaklah didedahkan dengan mengadap ke kiblat dan jari-jari tangan direnggangkan antara satu sama lain secara sederhana.

Dari segi hukum, mengangkat tangan ketika takbir ini adalah sunat, tidak wajib. Oleh demikian, jika tidak dilakukan atau dilakukan secara tidak sempurna, tidaklah membatalkan solat. Namun demikian, solat yang paling baik ialah yang dilakukan dengan sehabis sempurna dan mengikut cara solat Nabi s.a.w..

Wallahu A’lam.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...